Malaysia Dateline

‘Gaji menteri yang dipotong boleh salur terus sebagai susbsidi barang keperluan rakyat’

Pemuda AMANAH Negeri Perak menggesa agar kerajaan Malaysia tetap melakukan pemotongan gaji menteri Kabinet seperti yang dicadang banyak pihak dalam usaha menjimatkan wang negara.

Ketua Pemudanya, Khairol Najib Hashim melihat bahawa dengan pemotongan gaji, ia dapat disalurkan terus kepada rakyat sebagai subsidi barangan keperluan rakyat.

Biarpun Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menganggap pemotongan gaji tidak dapat mengurangkan kadar inflasi, namun kata Khairol, wang negara dapat dijimatkan dari pemotongan tersebut.

“Malah dengan pemotongan gaji menteri dan timbalan menteri, ia dapat mengurangkan beban emolumen yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan apatah lagi dengan saiz Kabinet Malaysia yang bersifat mega ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi Pemuda Amanah Perak hari ini.

Pada semalam, Annuar Musa menegaskan bahawa langkah pemotongan gaji dan elaun menteri serta timbalan menteri, tidak akan menyelesaikan masalah inflasi yang membelenggu negara dan dunia ketika ini.

Beliau berkata kadar potongan gaji dan elaun anggota Kabinet tidak mencukupi untuk menyelesaikan isu inflasi dan kenaikan harga barang.

Beliau juga menggesa agar pihak yang mengusulkan cadangan pemotongan gaji dan elaun berkenaan untuk ‘berhenti bermain politik’ dan memberi fokus pada kaedah yang benar-benar mampu menyelesaikan isu inflasi secara tuntas.

Sementara itu Khairol berkata, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan bukan sahaja berhak untuk mengesyorkan dasar penjimatan kepada penjawat awam, tetapi kerajaan juga perlu memotong gaji menteri dan timbalan menteri bagi memberi satu contoh teladan kepada semua rakyat Malaysia.

Baca juga: Tengku Hassanal ‘okay sahaja’ kongsi grafik Fahmi Reza, minta orang ramai jangan buat laporan polis

Baca juga: Kerajaan hari ini ibarat kapal hanyut tidak tahu nak berlabuh di mana, atau tenggelam

Baca juga: Kesian rider 5 minit kena sidai masa hujan lebat, tapi pelanggan tak keluar juga