Gaji minima naik RM50 satu penipuan kepada pekerja, kata PSM

Oleh MALAYSIADATELINE

Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini mempersoalkan tindakan kerajaan menolak cadangan dibuat oleh konsultansi mewakili Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) ke atas keputusan gaji minimum yang diumumkan semalam.

Koordinator Biro Pekerja PSM M Sivaranjani berkata, keputusan kerajaan itu mengejutkan PSM yang telah bersama membuat konsultansi tentang amaun baru gaji minima.

“”Dalam dua tahun yang lepas, kerajaan telah menjemput semua pihak membuat konsultasi tentang amaun baru Gaji Minima dan PSM sendiri telah menghadiri konsultasi dengan Majlis Perundingan Negara dan Jawatankuasa Teknikal Gaji Minima sebanyak tiga kali sejak bulan November.

“Dalam setiap konsultasi, PSM mengutarakan pelbagai masalah sebenar yang dihadapi oleh pekerja dan analisa mengapa Gaji Minima harus dinaikkan ke RM1500.

“Pada konsultasi terakhir, iaitu 17 Julai 2018, Majlis konsultasi Gaji Minima mencadangkan gaji minima sebanyak RM1250 bagi Semenanjung Malaysia dan RM1000 bagi Sabah dan Sarawak.
“Dengan mengambilkira keperluan untuk menyamaratakan, maka cadangan RM1170 dibangkit.

“Jika kita meneliti pengumuman kerajaan semalam,cadangan Majlis Konsultansi Gaji Minima langsung diabaikan.

“Amaun Gaji Minima baru diumumkan oleh Pejabat Perdana Menteri! Maka, apakah fungsi Majlis Konsultansi Gaji Minima? Baik tutup Majlis ini jika semua konsultasi dengan pihak terbabit adalah wayang kulit semata-mata,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas keputusan kabinet semalam, memutuskan gaji minimum rakyat Malaysia yang bekerja di sektor swasta adalah RM1,050 sebulan/ RM5.05 sejam berkuatkuasa pada 1 Januari 2019.

Justeru kata beliau lagi setelah banyak pihak terbabit menunggu dua tahun dan dua bulan, akhirnya pengumuman kenaikan Gaji Minima dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri amat mengejutkan.

Katanya, dengan keputusan Kerajaan PH yang menaikkan Gaji Minima sebanyak RM50, iaitu dari RM1000 kepada RM1050 tetapi kenaikan RM50 itu adalah satu penipuan yang besar kepada golongan pekerja di Malaysia.

“Kami juga nampak dalam semua konsultasi, majikan asyik lobi untuk kenaikan RM50 sahaja. Sekarang kita melihat cadangan majikan diambil bulat-bulat tanpa mempertimbangkan cadangan wakil pekerja.

“PSM menuntut RM1500, manakala MTUC menyatakan RM1800 harus dilaksanakan. Akhirnya Majikan menang!, katanya.

Terangnya lagi, setiap kali Gaji Minima dikaji, maka satu tempoh masa akan dibuat oleh Kerajaan.

“Pada kali pertama Gaji Minima dikaji, 18 bulan hilang dan Gaji Minima baru dilaksanakan pada Julai 2016 (yang sepatutnya dilaksanakan 1 Jan 2015).

“Sekarang, amaun baru gaji minima yang sepatutnya dilaksanakan mulai Julai 2018 pula dilanjutkan ke Januari 2019. Enam bulan hilang di sini.

“Masalah ini harus diselesaikan. Kajian harus dilakukan dalam jangkamasa 2 tahun dan keputusan dilaksanakan serta-merta.
“Jangan mangsakan pekerja kerana pentadbiran kerajaan yang tidak efisyen.

“Dengan kenaikan RM50 ini, bagaimana pekerja akan menanggung kos hidup yang meningkat, tambahan dengan beban cukai SST?
“Kenaikan ini tidak akan meningkatkan kuasa beli pekerja, mahupun merangsang ekonomi secara keseluruhan.

“Syabas kepada Kerajaan PH! Inilah hadiah yang diberi oleh Kerajaan PH kepada rakyat yang dahagakan perubahan selama 61 tahun,” ujarnya dalam nada kecewa.

Tambah beliau lagi, dengan permulaan RM1050, adakah Pakatan Harapan akan menunaikan janji Gaji Minima RM1500 dalam satu penggal di bawah pentadbiran mereka?

“Pasti tidak. Kenaikan Gaji Minima yang seterusnya hanya akan dikaji pada tahun 2021 dan selepas itu penggal pertama akan habis.

“Maka, hanya ada satu kali lagi kenaikan dalam satu penggal ini. Adakah RM450 akan dinaikkan pada tahun 2021?

“Akhirnya pekerja telah ditipu. Janji RM1500 menjadi sekadar mulut manis.

“Satu lagi, jangan kita lupa sepanjang pentadbiran Tun Mahatir selama 22 tahun, undang-undang Gaji Minima tidak menjadi realiti walaupun pekerja memberikan pelbagai tekanan pada masa itu. Sandiwara ini akan berterusan dalam era Tun Mahatir 2.0,” katanya.

Baca: Kabinet putuskan gaji minimum RM1,050