Biarpun memiliki pendapatan bulanan sebanyak RM5,000, namun ramai tidak tahu bahawa jumlah itu sekadar cukup makan sahaja bagi seorang bapa yang mempunyai tanggungan seorang isteri dan lima orang anak.
Bagi segelintir individu, gaji sebanyak itu cukup lumayan, tetapi tidak bagi seorang pengguna Facebook, Amirulz Mdd yang meluahkan dia juga terpaksa berhutang dengan meminjam duit daripada kenalan
.“Bayar kereta Proton Saga RM550, rumah flat RM700, Netflix RM33, bagi mak RM800, nafkah isteri RM800, bil eletrik RM80, duit dapur RM900 (barang kering, basah 4 kali beli) kiranya sekali beli barang dapur dalam RM230.
“Belanja anak sekolah 5 orang RM400 sekali bas sekolah. Tinggal RM500 hingga RM 600 untuk bapa dia ni top-up kredit dan isi minyak motor hari-hari pergi kerja,” katanya.
Selain itu, dia turut mengatakan tidak pernah merokok atau vape, tidak guna perkhidmatan penapis air serta tidak mengambil hibah dan insurans tetapi masih terasa ‘sesak’.
Dia juga meluahkan rasa sedih apabila tidak mampu untuk membawa keluarganya bersiar dan berjalan terutama di pusat beli-belah.
“Hang ingat gaji RM5,000 dah cukup ke? Nak keluar berjalan pun tak lepas. Kesian tengok anak ke taman permainan sahaja.
“Nak juga bawa tengok wayang ke, makan best-best ke. Bapa-bapa fahamlah perasaan ni. Cuma lelaki dia banyak diam,” ujarnya.
Tak boleh kurangkan nafkah isteri sebab…
Melihat perkongsian itu, ada yang menyarankan supaya dia mengurangkan nafkah isterinya.
Namun, dia membalas tidak sanggup mengurangkan jumlah nafkah tersebut kerana dilihat sangat rendah jika dibandingkan kerja-kerja yang perlu dilakukan oleh seorang isteri.
Dia juga menjelaskan tidak dapat mengurangkan jumlah wang pemberian kepada ibunya memandangkan wanita itu harus menjaga abang dan adiknya yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) di kampung.
“Saya hargai apa dia buat umpama gaji dia sebab membantu saya lahirkan anak dan manage rumah serta baju semua. Memang penat jadi suri rumah ni,” katanya.
Perkongsian itu telah membuatkan ramai orang berasa terharu dan memujinya bertanggungjawab dalam memainkan peranan sebagai seorang suami dan anak meskipun dalam kesempitan.
Baca juga: Dahlah beri gaji RM600 sebulan, majikan suruh pula pekerja bayar bil elektrik, air