Malaysia Dateline

Gaji, saiz anggota Kabinet akan dikurangkan – Anwar

Gaji anggota Kabinetnya akan dikurangkan tetapi ia perlu dipersetujui melalui perbincangan terlebih dahulu, kata Perdana Menteri Malaysia ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, pembentukan Kabinet akan disegerakan dengan saiz yang juga akan dikecilkan.

“Saiz Kabinet tentunya akan dikecilkan dan saya minta supaya ahli Kabinet baharu setuju agar gaji dikurangkan.

“Tetapi semua ini dalam proses perbincangan dan persiapannya sesegera mungkin,” kata Anwar pada sidang medianya di Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, beliau sebagai Perdana Menteri akan merujuk kepada parti-parti lain untuk mengusulkan nama bagi pembentukan Kabinet.

“Kita kena faham bahawa Kerajaan Perpaduan bermakna seorang Perdana Menteri harus rujuk kepada parti-parti gabungan ini.

“Parti masing-masing pula akan mengusulkan nama (untuk pembentukan kabinet),” kata Anwar lagi.

Pada kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Anwar menegaskan bahawa PH akan mengurangkan barisan jemaah menteri dan memotong gaji mereka

Sebelum ini, Malaysia mempunyai jumlah anggota jemaah menteri besar jika dibandingkan dengan negara lain sekali gus meningkatkan bebanan kewangan tinggi kepada negara selain menimbulkan masalah dari segi fungsi bertindih.