“Gaji suami besar tapi tak tunai nafkah, anggap tugas selesai lepas beli ikan, ayam dan sarapan”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita tidak pernah menduga bahawa suami yang dinikahinya 16 tahun lalu masih tidak mempunyai kesedaran tentang tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.

Lebih memburukkan keadaan, isteri yang tidak pernah menerima nafkah itu terpaksa melakukan tiga pekerjaan demi menampung perbelanjaan keluarga termasuk suami.

Malah lelaki terbabit juga tergamak melabelkan pasangannya sendiri sebagai ‘isteri yang tidak bersyukur’ apabila sikap tidak bertanggungjawabnya mula dipersoalkan.

“Aku sudah berkahwin. Mempunyai tiga orang anak yang masih kecil. Aku dan suami sama-sama penjawat awam. Gaji dia tentulah lebih besar kerana grednya lebih tinggi dari aku. Tetapi sejak berkahwin, dia memang tidak pernah berikan nafkah.

“Gaji suami adalah gaji dia. Gaji aku juga adalah gaji dia. Setiap bulan gajinya hanya bertahan dua minggu sahaja. Tak tahu ke mana duit dia pergi tetapi selama 16 tahun kahwin, akulah yang membayar pinjaman rumah dan segala bil utiliti.

“Tanggungan aku ini termasuklah keperluan anak dan belanja dapur. Hinggakan aku terpaksa melakukan dua ke tiga pekerjaan semata-mata nak menampung keperluan dalam rumah,” kongsi wanita terbabit.

Perkongsian itu dibuat oleh isteri berkenaan tanpa mendedahkan identiti sebenarnya menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik di sebuah forum terkenal atas talian.

Difahamkan, perkongsian itu bukanlah dibuat untuk membuka aib suami sebaliknya mahu meminta pendapat orang ramai untuk menyelesaikan masalah dihadapinya.

“Aku penat dengan kerja hakiki, tugas sambilan dan urusan rumah tangga. Suami? Tak pernah membantu. Yang dia tahu, balik kerja terus tidur. Bangun dari tidur, main telefon. Kemudian keluar minum atau bersosial dengan kawan-kawan.

“Terkontang-kantinglah aku uruskan rumah ini dan anak-anak. Bukan badan sahaja penat, emosi juga terdera dengan pelbagai perasaan. Pernahlah suami berjanji akan kurangkan beban yang aku tanggung apabila dinaikkan ke gred yang lebih tinggi.

“Rupanya janji tinggal janji. Masih lokek membantu aku dan tentunya kedekut untuk menghulurkan nafkah hatta RM50 sekalipun. Malah turut berkira soal makan dengan anak-anak,” tulisnya lagi.

Tahap kesabaran wanita terbabit akhirnya teruji selepas 16 tahun mendirikan rumah tangga apabila terlibat dalam satu ‘perang besar’ dengan suaminya tentang nafkah.

Pada waktu itu jugalah pengadu akhirnya menyedari suaminya menganggap bahawa tanggungjawabnya selama ini sudah selesai kerana ‘sesekali’ membeli barang dapur.

“Selepas 16 tahun, kami berperang besar. Aku mula mempersoalkan tanggungjawab suami. Tentang nafkah, perbelanjaan rumah dan juga keperluan anak-anak. Namun bermati-matian suami menyatakan bahawa dia telah membantu aku.

“Contohnya sesekali beli sayur, ikan dan ayam. Sesekali membayar tuisyen anak dan belanja sarapan pagi kami sekeluarga. Dia mula berhujah yang aku ini tak bersyukur dengan ‘bantuannya’. Aku tak bersyukur ada suami.

“Katanya aku asyik merungut suami tak bantu. Sedangkan di luar sana ramai isteri ditinggalkan suami. Ramai isteri tak dipedulikan suami. Aku sendiri jadi keliru. Adakah menyediakan rumah, makan dan pakai kepada dia serta anak terletak di bahu aku?.” Kesalnya.

Dalam hantaran yang sama, wanita itu bertanya pendapat kepada orang ramai adakah masalah rumah tangganya bakal selesai sekiranya dibawa ke pejabat agama selain merasa segan kerana usianya sudah melewati 40-an.

Baca juga: “Semua benda aku uruskan, sibuk chat perempuan lain tapi bab kerja, solat pemalas betul suami aku ni…”