Barisan pemain dan pegawai pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang mengalami tunggakan gaji akhirnya boleh menarik nafas lega selepas menerima sumbangan hasil kutipan Tabung Aidilfitri Pemain Bola Sepak Kedah.
Sumbangan berjumlah RM200,000 itu mula dikumpulkan pada 20 Mac lalu sebelum disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam majlis yang diadakan di sebuah hotel di Alor Setar, Kedah.
Usaha ini adalah inisiatif daripada tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Rangkaian Anak Darulaman Se-Malaysia (RADA), Pertubuhan Sukarelawan Rakyat Aman (SUARA) dan Persatuan Anak Darulaman Malaysia (ADAM).
Saifuddin menerusi satu hantaran di platform Facebook berkata, pihaknya berharap sumbangan tersebut dapat melegakan penderitaan dialami pemain serta pegawai akibat tunggakan gaji yang berlarutan hingga 10 bulan.
“Situasi ini amat membimbangkan kerana mereka bukan sahaja berjuang di padang, tetapi juga menghadapi kesukaran dalam kehidupan harian mereka. Saya percaya masalah tidak akan selesai dengan hanya menuding jari.
“Sebaliknya perlu ada usaha untuk mencari jalan penyelesaian. Oleh itu, kami segera menggerakkan jawatankuasa kecil. Dalam tempoh kurang seminggu, kutipan sumbangan yang sangat memberangsangkan berjaya dikumpulkan.
“Ini menunjukkan bahawa rakyat Kedah dan seluruh Malaysia masih menaruh kepercayaan dan sokongan kepada pasukan mereka,” kata Saifuddin dalam satu perkongsian dimuat naik di akaun miliknya, semalam.
Menurut Saifuddin, majlis diadakan itu bukanlah sekadar penyampaian sumbangan namun satu simbol solidariti yang membuktikan bahawa pemain tidak keseorangan sebaliknya akan diberi perhatian, simpati dan dokongan daripada seluruh penyokong serta komuniti bola sepak.
Pemimpin itu juga mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan termasuk individu, syarikat dan juga Yayasan Food Bank Malaysia.
“Tanpa usaha kolektif ini, mustahil kita dapat membantu pemain-pemain menghadapi musim perayaan ini dengan lebih tenang. Hari ini, kita menyaksikan bahawa bola sepak bukan sekadar permainan di atas padang.
“Tetapi perjuangan yang memerlukan komitmen dan sokongan semua pihak. Saya yakin, dengan semangat ini, pasukan Kedah akan bangkit kembali! Teruskan berjuang, teruskan menyokong!.” Ujarnya yang memberi sumbangan kepada 40 pemain dan kakitangan KDA FC.
Sekadar info, KDA FC kini berhadapan kemelut kewangan yang meruncing sehingga pemain dan pegawai pasukan berada di tangga ke-11 Liga Super itu menghadapi tunggakan gaji hampir setahun.
Baca juga: Makan dalam betul amaran jangan buang sampah merata-rata