Galakan ramaja ambil vaksin tidak begitu serius

Oleh NASUHA RAHMAN

Pemuda AMANAH menggesa pihak kerajaaan segera mengeluarkan perancangan dan sasaran terkini yang lebih jelas berkenaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sekali gus meningkatkan keyakinan awam untuk memahami keperluan dan kepentingan vaksin dalam mengekang penularan Covid-19.

Ketuanya Muhamad Taqiduddin Cheman berkata, ini berikutan wujud kekeliruan dalam kalangan ibu bapa dan remaja apabila galakan untuk mengambil vaksin dalam kalangan remaja tidak begitu serius.

“Apabila pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengeluarkan kenyataan bahawa pelajar yang menolak vaksin tidak dihalang untuk ke sekolah apabila sesi persekolahan bersemuka dilaksanakan nanti.

“Pada masa yang sama, KPM melarang guru yang enggan mengambil vaksin hadir ke sekolah untuk mengajar secara bersemuka.

“Kekeliruan dalam meletakkan sasaran yang jelas dan terpandu dalam isu ini akan menyukarkan semua pihak untuk membuat perancangan dan SOP yang bersesuaian,” katanya.

Taqiuddin juga berkata, sekiranya sasaran tersebut meliputi seluruh populasi termasuk mereka yang berumur bawah 18 tahun, kerajaan sewajarnya meletakkan penegasan dan kempen yang sama seperti mana untuk warga yang berumur 18 tahun ke atas sebelum ini.

Kerajaan juga katanya harus menjelaskan dengan lebih terperinci sama ada sasaran 80% penduduk divaksinasi yang dibuat sebelum ini meliputi keseluruhan populasi atau mereka yang berumur 18 tahun ke atas.

Mengulas ucapan penggulungan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di Dewan Rakyat mengenai imuniti kelompok yang disifatkan tidak relevan, beliau berkata, perkara ini memberi kesan kepada usaha selama ini yang menetapkan imuniti kelompok sebagai sasaran dalam Pelan Pemulihan Negara.

Dalam hal ini, Pemuda AMANAH ingin mengetahui apakah dengan mengabaikan sasaran imuniti kelompok, pihak kerajaan telah menyediakan satu sasaran baharu yang lebih relevan, berpandukan kepada data dan sains dalam memastikan program imunisasi mempunyai hala tuju dan matlamat yang ingin dicapai.

Khairy dilaporkan berkata sasaran imuniti kelompok adalah formula konvensional yang dibuat ketika varian Delta yang dilaporkan lebih bahaya dan mudah tersebar sebelum menular. Beliau turut menyatakan kita tidak perlu sebut lagi soal imuniti kelompok.