Malaysia Dateline

Gali semula kekuatan dan kemudi kapal perjuangan ini

Meski belum sepenuhnya berakhir, dengan jalan kembali ke Putrajaya buat Pakatan kini bergantung kepada undi tidak percaya di Dewan Rakyat yang entah bila akan dipanggil bersidang, kita sudah pun boleh mengutip beberapa konklusi.

Yang pertama, ternyata kepentingan peribadi adalah motivasi paling menakutkan yang boleh dimiliki oleh seseorang yang bergelar ahli politik. Kedua, ahli politik yang kita miliki tidak hairan pun dengan kepentingan rakyat bawahan.

Teringat pepatah lama Melayu, menang sorak, kampung tergadai. Dalam usaha untuk hanya menghalang sekerat individu dari sama ada memegang kuasa atau terus berkuasa – maruah, ideologi (jika ada dimiliki mereka), prinsip, retorik, malah rayuan penyokong sendiri – semuanya boleh digadaikan. Biar berantakan parti dan gabungan yang dibina dengan jerih perih dan pengorbanan rakyat yang selama ini meletakkan kepercayaan, asal matlamat peribadi yang dizahirkan sebagai agenda politik dapat dicapai.

Hanya untuk mencapai cita-cita politik sendiri, cercaan, penghinaan, ludahan orang bawahan ditelan dan dihadap. Biar wajah berlumur arang, tubuh bercemar najis – asalkan kuasa dapat diraih. Begitulah besarnya pengaruh kuasa dan kedudukan.

Berpuluh tahun perjuangan melawan koruptor yang sedia kita sedari selama ini bermaharajalela di bawah payung United Malays National Organisation, semuanya lebur. Sepatutnya kita sudah tidak perlu terkejut. Alangkan perkumpulan individu-individu yang berwadahkan politik Islam bawah sinar rembulan di langit hijau tua pun boleh menerima gerombolan United Malays National Organisation sebagai sahabat setia mereka, apatah lagi mereka yang memang lahir dari gerombolan tersebut.

Akhirnya, kita perlu yakinkan diri, bahawa yang berlalu, biarkan berlalu. Tak guna dikenang barang yang lepas. Semakin diungkit, semakin keruh keadaan yang sudah sedia kucar dan kacir ini. Bukan sedikit kawan-kawan baik di atas dan di bawah yang mula bertegang. Yang sudah di seberang tentulah dicontengkan sebagai pengkhianat. Yang masih di pangkal mulai salah-menyalahi. Sedangkan dalam hal ini – setiap kita ada saham sendiri. Setiap kita ada salah masing-masing. Maka yang terbaik bukan untuk mencari salah dan lanjutkan pergaduhan, sebaliknya mencari jalan keluar.

Tidak kiralah kalau kerajaan Muhyiddin ini bakal berkubur sebelum sempat menghabiskan penggalnya atau tidak – muhasabah diri yang paling baik sekarang adalah dengan mengakui kita telah terlalu lama hanyut dalam wayang politik langka – yang hanya difahami oleh orang yang lahir mungkin tiga puluh tahun yang lalu. Anak-anak muda yang lahir lebih kemudian, yang mewarnai struktur masyarakat hari ini tiada kaitan dan tidak mempunyai pengetahuan langsung tentang susur-galur dan punca kepada apa yang terzahir dalam politik kita sekarang. Sebab itu rata-rata lebih memahami politik Najib Razak – perdana menteri zaman mereka berbanding Mahathir dan Anwar.

Amarah adalah musuh kepada kewarasan berfikir. Untuk menang kembali, kita perlu padamkan amarah kita. Kita harus bertenang biar fikiran kita lebih jelas. Seminggu yang lalu tidak berlaku tanpa perancangan teliti. Kelicikan musuh-musuh di luar dan di dalam selimut kita ini adalah hasil dari ketenangan mereka dalam merancang. Jika gagal merancang, kita merancang untuk gagal.

Berbesar hati dan berlapang dada, mulakan kembali langkah yang lebih besar. Perhatikan kelemahan musuh. Gunakan sebaik-baiknya kelemahan tersebut, seperti mana mereka menggunakan kelemahan kita. Kemudi semula kapal perjuangan ini. Kelemahan kita sudah didedahkan – sekarang tiba masa menggali semula kekuatan kita.

Masih perlukan pembayang? Cuba periksa berapa ramai dalam kalangan mereka yang sudah boleh mendapat potongan diskaun warga emas ketika menaiki kereta api, dan berapa ramai pula dari kalangan kita yang lesen memandunya entah-entah baru diperbaharui sekali dua dalam hidup mereka.