Malaysia Dateline

Gambar Menteri, Timbalan dalam poster ucapan Hari Natal dipertikai netizen

Orang ramai menyindir gambar Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan dua timbalannya dalam poster ucapan Hari Natal oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Rata-rata netizen mempersoal kedudukan gambar mereka bertiga di tengah-tengah poster yang dimuatkan dalam Facebook rasmi KKM.

Rakyat dilihat mahukan saiz gambar Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah lebih besar dan berada di tengah poster itu.

Walaupun umumnya tahu amalan lazim kedudukan gambar orang kenamaan di tengah dan saiznya lebih besar berbanding individu lain tetapi netizen menganggap imej Dr Norr Hisham patut paling ditonjolkan.

Warganet menyifatkan Adham yang juga Ahli Parlimen Umno Tenggara itu serta dua timbalannya, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Datuk Aaron Ago Dagang sebagai ‘tidak buat kerja’.

Oleh itu, orang ramai menganggap gambar ketiga-tiga ahli politik dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu tidak relevan sama sekali untuk ditonjolkan dalam poster.

“Susun gambar nombor 1 ialah Dr Noor Hisham bah sebab jasa dia yang paling banyak dan disayangi rakyat. Terima kasih,” kata pengguna Facebook dari Sabah, Christopher Cf Yong.

Hal sama dibangkitkan Mohd Nasrul Nizam apabila menulis, “Lain kali susun gambar ikut sumbangan dan kerja buat pula.”