Malaysia Dateline

Gamis dakwa pindaan AUKU 2018 masih sekat kebebasan mahasiswa

Muhammad Faizzuddin Mohd Zai

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) yang dikuasai Pas berpendapat pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU 2018) yang diluluskan oleh Parlimen semalam, hanya menguntungkan parti politik dan tidak memberikan manfaat kepada gerakan mahasiswa.

Presidennya Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, pindaan pada pada Seksyen 15(2)(C) akan memberi ruang kepada pemimpin politik dalam negara untuk lebih mendekati mahasiswa secara langsung selepas daripada ini sedangkan mahasiswa di dalam kampus mempunyai perjuangan dan ideologi mereka yang tersendiri.

“AUKU 2018 adalah masih sama seperti dahulu iaitu masih menyekat mahasiswa daripada mengurus organisasi mahasiswa secara autonomi seperti yang termaktub dalam seksyen 15A(1), keadilan mahkamah universiti yang masih di bawah kuasa individu lantikan politik (Naib Canselor) atau pemain politik negara seperti yang termaktub dalam seksyen 16(1) dan kekebalan Naib Canselor serta ahli lembaga daripada undang-undang seperti yang termaktub dalan seksyen 24C.

“Kami juga menentang sekeras-kerasnya peruntukan rimba yang mengikat Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di universti oleh pihak lembaga universiti seperti yang termaktub di dalam seksyen 48(1A) dalam AUKU. Apa yang menjadi tuntutan kepada gerakan mahasiswa ialah kebebasan untuk berorganisasi dan bukannya kebebasan untuk berpolitik secara kepartian kerana majoriti anak muda atau mahasiswa hari ini menolak politik kepartian,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau mengulas keputusan dewan rakyat semalam meluluskan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang akan membolehkan mahasiswa terlibat aktiviti parti politik di dalam kampus.

Keputusan itu dicapai selepas ahli-ahli Dewan bersetuju terhadap Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2018 bagi memansuhkan peruntukan Seksyen 15(2)(c) AUKU 1971 berhubung larangan ke atas pelajar universiti terlibat dalam parti politik di kampus.

Maszlee turut dilaporkan berkata,Pindaan itu bagaimanapun hanya menyentuh kepada bahagian yang menghalang mahasiswa berpolitik, bukannya memansuhkan keseluruhan AUKU.

Menurut Muhammad Faizzuddin lagi, dengan kuasa politik yang ada sepatutnya Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik memansuhkan segala seksyen yang menekan mahasiswa daripada bebas berorganisasi dan memberikan kepada mahasiswa kuasa untuk mengurus masyarakat kampus secara autonomi.

“Alasan tidak cukup masa adalah alasan politik semata-mata. Tempoh masa kerajaan selama 6 bulan memerintah negara sepatutnya lebih daripada cukup untuk mengkaji dan meminda undang-undang AUKU yang menyekat kebebasan mahasiswa.

“Kami menyeru kepada kerajaan agar menilai kembali pindaan yang sangat tidak bertanggungjawab dan hanya memberi kelebihan kepada parti politik sahaja ini dan meminda seksyen-skesyen lain yang selama ini membelenggu dan menafikan hak gerakan mahasiswa,” ujarnya.

Selain pindaan AUKU 2018  semalam Dewan Rakyat juga dijangka meluluskan pindaan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 bagi melengkapkan usaha memansuhkan halangan mahasiswa terlibat aktiviti politik dalam kampus.