Malaysia Dateline

Gamis hantar memorandum kepada Raja Permaisuri jika desakan haram Dong Zong tidak diendahkan

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) akan menghantar satu memorandum kepada Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah jika desakan mereka untuk mengharamkan Dong Zong tidak diendahkan.

Presiden Gamis, Saifullah Baiduri berkata, tujuan memorandum itu dihantar adalah untuk mempertahankan kedaulatan tulisan jawi dan mengatasi pihak-pihak yang cuba merosakkan warisan negara.

“Jika desakan kami tidak diendahkan, kami juga akan mengadakan lebih banyak protes di seluruh negara. Himpunan mega rakyat akan diadakan untuk mendesak supaya Dong Zong diharamkan.

“Tindakan Dong Zong ini secara jelas bertentangan dan menyalahi Akta Pendidikan 1996, juga bertentangan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 yang menyatakan tulisan Bahasa Kebangsaan adalah tulisan Jawi.

“Kami memberi amaran kepada Pertubuhan Dong Zong atau mana-mana pertubuhan yang cuba menyentuh Perlembagaan Negara supaya tidak sama sekali meneruskan sebarang himpunan yang berbaur perkauman,” tegasnya kepada pemberita di hadapan pusat beli-belah Sogo, hari ini.

Kira-kira 350 peserta yang terdiri daripada mahasiswa berkumpul di hadapan pusat beli-belah Sogo selepas berarak dari Masjid Jamek bertujuan mengadakan Himpunan Aman Bangkit Pertahan Jawi: Haramkan Dong Zong.

Dalam pada itu, Saifullah berkata, pihaknya menekankan supaya pelajaran jawi turut diajar di semua sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan SJK (Cina) dan SJK (Tamil).

“Ini kerana ia bertepatan dengan Perlembagaan Negara yang menyatakan jawi adalah sebahagian dalam Bahasa Melayu iaitu Bahasa Kebangsaan sekali gus memupuk semangat perpaduan kaum.

“Kami juga kecewa dengan tindakan Dong Zong yang sekali lagi cuba memporak-perandakan perpaduan kaum dengan menyemarakkan sikap anti-nasional dalam kalangan masyarakat Cina, terutamanya dalam usaha untuk cuba mengadakan himpunan anti Jawi yang sepatutnya diadakan pada 28 Disember lalu.

“Kami sekali lagi menyeru semua rakyat bersatu dalam memastikan keamanan dan keharmonian negara terus terpelihara serta memastikan pertubuhan anti-nasional seperti Dong Zong tidak wujud dalam negara kita,” tegas Saifullah.