Filem aksi terbaharu berjudul Blood Brothers: Bara Naga yang baru memasuki dua hari tayangan di pawagam sudah pun berjaya mencatat kutipan sebanyak RM9.2 juta.
Filemterbitan Skop Productions dan Primeworks Studios (PWS) ini merupakan arahan pengarah berbakat besar Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra.
Sejak mula ditayangkan di 170 pawagam seluruh negara bermula 9 April, Blood Brothers menerima maklum balas positif penonton dari sudut jalan cerita, sinematografi dan koreografi aksi yang disifatkan setanding filem Hollywood.
Menurut laporan media tempatan, negeri Selangor, Johor, Kedah, Pahang dan Terengganu muncul antara negeri yang merekodkan tontonan tertinggi.
Ia menjadi isyarat jelas bahawa semangat persaudaraan, dendam dan perjuangan dalam naskhah itu benar-benar menyentuh hati penonton.
Filem yang mengambil masa selama 70 hari dengan bajet RM7 juta ini boleh dikatakan sudah berjaya menjafi buah mulut penggemar filem aksi.
Sinopsis filem dipetik dari Berita Harian:
Filem Blood Brothers: Bara Naga memaparkan perjalanan hidup Ariff lakonan Syafiq Kyle yang direkrut oleh Ghaz (Sharnaaz Ahmad) untuk berkhidmat di bawah naungan Datuk Zul (Wan Hanafi Su), ahli perniagaan berpengaruh yang juga merangkap sebagai ketua Mafia Naga.
Sejak itu, Ariff mengangkat bai’ah setia sebagai pengawal peribadi elit dalam syarikat kawalan keselamatan dipanggil Silent Guard, sekali gus terikat sebagai Blood Brother kepada Ghaz.
Namun, ketika pengkhianatan dahsyat menggoncang dunia mereka, Ariff tiba-tiba dituduh sebagai pembelot dan dijadikan suspek utama.
Dalam keadaan terdesak membersihkan namanya, Ariff terpaksa melarikan diri dan mendapatkan bantuan abang kandungnya yang sudah lama terpisah, Jaki (Syazwan Zulkifly).
Sementara itu, Ghaz diamanahkan untuk memburu dan menangkap Ariff, lantas menyerahkannya kepada pengadilan keluarga Naga yang dahagakan balas dendam.
Blood Brothers: Bara Naga turut menampilkan pelakon seperti Irfan Zaini, Andy Teh, Ray Dap Dap, Shukri Yahaya, Amelia Henderson dan Zamarul Hisham.
Baca juga: Hospital Kuala Lipis buat laporan polis, nafi dakwaan bayi kembar dilarikan doktor palsu