Gangguan bekalan air di Daerah Kota Setar sehingga esok

Gangguan bekalan air di Daerah Kota Setar sehingga esok

Henti Tugas Pam Air Bersih Bukit Tinggi Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang untuk kerja-kerja penukaran ‘Delivery Valve’ Pam Air Bersih Nombor 9 , akan menyebabkan gangguan bekalan air bagi kawasan-kawasan sekitar Daerah Kota Setar.

Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Syarikat Air Darul Aman (SADA) Sdn Bhd.

Kenyataan tersebut juga menyatakan bahawa kerja-kerja ini perlu dilakukan bagi mewujudkan pam tunggu sedia (standby) untuk pam air bersih Bukit Tinggi.

Juga dinyatakan ia perlu dilaksanakan bagi memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan selepas ini serta dapat meminimakan gangguan operasi loji (Gangguan LRA tidak berjadual),

Malah menurut kenyataan tersebut, gangguan bekalan air akan bermula pada jam 9 malam 7 Januari 2019 sehinggalah jam 9 malam 8 Januari keesokannya.

Sementara itu kawasan-kawasan yang akan terlibat adalah sepanjang Jalan Sungai Mati ke Jalan Langgar, sepanjang Jalan Titi Haji Idris ke Pekan Tanah Merah, Pekan Tanah Merah ke Masjid Pekan Pendang, sepanjang Jalan Tobiar ke Kubur Panjang dan dari Kampung Alor Semela sehinggalah ke Simpang Empat Kangkong.

Selain itu kawasan lain yang juga terlibat dengan gangguan bekalan air pada malam Isnin sehingga Selasa adalah Simpang Empat Kangkong ke Kuala Sala dan ke Jalan Batas Paip (Bernas), Simpang Teluk Bagan ke Kampung Tok Jering, Jalan ALor Mengkudu ke

Kuala Kedah (terminal feri), Simpang Masjid Aman ke Jeragan (Mada) dan ke Tesco Stargate, Pekan Simpang Kuala ke Tandop, Pekan Simpang Empat sehingga ke Kampung Selarong Kanan dan Kampung Selarong Kiri serta seluruh kawasan Kuala Sala dan Tepi Laut.

Sehubungan itu, SADA menasihatkan agar pengguna yang akan terlibat dengan gangguan bekalan air tersebut pada hari Isnin (7.1.2019) dan Selasa (8.1.2019) membuat persediaan awal dengan menyimpan air secukupnya dan menggunakan sumber tersebut dengan lebih efisien.

Juga dimaklumkan anggaran jangka masa gangguan bekalan air tersebut adalah selama 24 jam.

Turut dinyatakan selepas kerja-kerja yang dijalankan tersebut siap sepenuhnya, bekalan air dijangka pulih secara berperingkat bergantung kepada geografi lokasi dan altitud premis pengguna.

Manakala pihak SADA pula telah melakukan persediaan awal dengan menyediakan perkhidmatan lori tangki bagi membantu pengguna-pengguna yang kritikal.

Pengguna yang ingin mendapatkan informasi serta membuat sebarang pertanyaan dinasihatkan menghubungi Pusat Informasi SADA ditalian 1300-88-0017.