Malaysia Dateline

Gangguan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur April ini

Gangguan bekalan air di Selangor dan Kuala Lumpur dijangka akan berlaku penghujung bulan ini berikutan kerja-kerja penyelenggaraan secara berjadual untuk beberapa aset-aset utama Air Selangor akan dilaksanakan.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan sebentar tadi memaklumkan sebanyak 88 kawasan di Wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak dan Kuala Lumpur dijangka mengalami gangguan bekalan air secara berjadual antara 30 Mac hingga 1 April selama 48 jam serta 6 April hingga 9 April ini selama 68 jam.

Ketua Komunikasi Korporatnya, Elina Baseri, berkata pihaknya telah mendapat kelulusan dari Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan aset utama secara berjadual.

“Kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu berdekatan kilang Carlsberg di Persiaran Selangor Seksyen 15, Shah Alam yang bakal menyebabkan gangguan bekalan air berjadual selama 48 jam.

“Manakala kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip itu akan dijalankan pada 30 Mac 2021, jam 9 pagi hingga 9 malam,” katanya.

Katanya, kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip itu akan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di lima kawasan di Wilayah Petaling, 14 kawasan di Wilayah Klang dan 11 kawasan di Wilayah Shah Alam bermula jam 9 pagi, 30 Mac 2021.

Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 9 malam, 1 April 2021.

Selain itu, warga Selangor dan Kuala Lumpur turut mengalami gangguan bekalan air berjadual selama 68 jam kerana kerja-kerja penggantian injap di jajaran paip air mentah daripada Empangan Klang Gates dan menyebabkan henti tugas sementara Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Nanas dan Wangsa Maju.