Malaysia Dateline

Gangguan bekalan, program vaksinasi P.Pinang merosot

Gangguan bekalan vaksin telah menyebabkan huru hara dalam program vaksinasi di mana Pulau Pinang telah merosot daripada kedudukan ke-6 kepada kedudukan ke-7 dari segi vaksinasi penuh untuk populasi dewasa.

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng berkata, Pulau Pinang sepatutnya menerima 200,000 dos vaksin Sinovac daripada Selangor yang dipinjamkan untuk memenuhi kekurangan yang disebabkan oleh gangguan bekalan Pfizer dalam masa yang sama Selangor akan menderma 20,000 dos kepada Pulau Pinang.

Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari dalam satu perjumpaan peribadi pada 23 Ogos 2021 dan telah mencadangkan untuk menderma 20,000 dos kepada Pulau Pinang.

“Ketika itu, tidak disebut tentang Pulau Pinang akan meminjam 200,000 dos kerana keputusan ini hanya boleh dibuat oleh Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF).

“CITF akan memulangkan 200,000 dos vaksin yang dipinjam kepada Selangor pada tarikh kemudian apabila bekalan vaksin yang tetap dapat dipulihkan.

“20,000 vaksin yang diderma Selangor mempunyai kos pasaran semasa bernilai RM 3.5 juta dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Amirrudin atas sumbangan persaudaraan kepada Pulau Pinang,” kata beliau.

Guan Eng juga berkata, keputusan Amirudin untuk membeli 1.25 juta dos vaksin terbukti betul malangnya masalah timbul hari ini ekoran daripada gangguan bekalan.

Katanya, disebabkan gangguan bekalan negeri Melaka kini mendahului Pulau Pinang dengan 54.7% berbanding 53.1% populasi dewasa yang telah menerima dua dos penuh pada 27 Ogos.

Pada 27 Ogos, hanya 24,318 dos telah diberikan di Pulau Pinang, jauh di bawah sasaran sekurang-kurangnya 30,000 dos harian yang dicapai bulan lalu.

“Pulau Pinang telah merekodkan angka tertinggi kematian sebanyak 38 orang pada 27 Ogos dan lonjakan mendadak jangkitan di Pulau Pinang terus meningkat tanpa terkawal.

“Ada keperluan mendesak untuk meningkatkan vaksinasi sebagai salah satu langkah yang paling efektif bagi meredakan kesan Covid-19.

“Walaupun Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan atau PICK berada di bawah kerajaan persekutuan, rakyat Pulau Pinang tidak berpuas hati dengan kadar vaksinasi yang perlahan dan mula menyalahkan kerajaan negeri.

“EXCO Kesihatan Pulau Pinang perlu bekerja dengan lebih keras untuk mengelakkan kelewatan dalam vaksinasi yang boleh menyebabkan risiko yang lebih tinggi kehilangan nyawa,” kata beliau.

Bagaimanapun, katanya sebagai permulaan, 20,000 dos vaksin yang diderma oleh Selangor patut digunakan segera bagi penjaja dan pekerja sektor perniagaan di Pulau Pinang untuk mempercepatkan pembukaan semula ekonomi.