Malaysia Dateline

Gangguan seksual 11 anggota polis: Tidak cukup hanya tindakan tatatertib

Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh memandang serius isu gangguan seksual membabitkan 11 anggota polis yang didakwa terlibat dalam kejadian rogol di lokap Balai Polis Pusat Miri, Sarawak.

Beliau berkata, biarpun Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman telah mengenakan tindakan disiplin ke atas pegawai tersebut, namun ia masih meninggalkan beberapa persoalan penting.

Beliau bertanya sekiranya kesemua 11 anggota tersebut terlibat secara langsung dalam dakwaan kejadian rogol seorang remaja dalam tahanan, Januari lalu.

“Apakah tindakan disiplin dan penurunan pangkat 11 pegawai tersebut disiasat mengikut proses undang-undang jenayah?

“Adakah merit kecuaian dalam menjalankan tugas setiap 11 orang pegawai tersebut adalah sama sehingga mewajarkan tindakan disiplin tanpa siasatan penuh khususnya berkaitan jenayah rogol.

“Kami berpendirian, siasatan yang terperinci perlu dilakukan dan laporan siasatan mesti dimaklumkan kepada awam demi memulihkan imej dan integriti PDRM,” kata Fuziah dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, seorang tahanan remaja wanita berusia 16 tahun dirogol di lokap Balai Polis Pusat Miri, Sarawak pada jam 5.30 pagi, 9 Januari lalu.

Suspek kes itu seorang lelaki berusia 19 tahun sudah dituduh di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan pada 12 Januari lalu.

Mengulas lanjut, Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan itu berkata, adalah tidak tepat sekiranya hanya tindakan disiplin atau tata tertib dikenakan kepada 11 pegawai tersebut.

Sedangkan katanya, peruntukan Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak (Pindaan 2001) bersifat mandatori dan peruntukan-peruntukan lain di bawah Kanun Keseksaan mewajarkan mereka semua disiasat bagi jenayah-jenayah tertentu mengikut pertuduhan berdasarkan siasatan dan kesalahan mereka.

“Kami menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanggungjawab sepenuhnya dalam kes ini dengan mengambil kira akauntabiliti penguatkuasa undang-undang dan jaminan keselamatan kepada mangsa dan keluarga mereka,” tambah Fuziah lagi.