Gangguan seksual di premis kedutaan babitkan duta didedah

Gangguan seksual di premis kedutaan babitkan duta didedah

Dalam sidang media anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) semalam, beberapa pengadu wanita tempatan yang bekerja sebagai kakitangan kedutaan mengakui begitu tertekan dengan pelbagai bentuk gangguan seksual (sexual harassment) yang dilakukan sama ada oleh duta mahupun kakitangan kedutaan yang mengamalkan budaya keji itu.

“Bila mereka nak dapatkan sesuatu daripada kita tetapi tidak dapat, mereka akan ‘terminate’ (memberhentikan) kita dengan segera.

“Alasan mereka, isteri dan anak-anak sudah kembali ke negara asal jadi mereka sunyi,” kata salah seorang mangsa, Puan Mar (bukan nama sebenar) yang telah berkhidmat selama lebih 17 tahun di lapan kedutaan dan menyimpan banyak rahsia negara.

Mar berkata gangguan seksual sentiasa berlaku dan berterusan meskipun kakitangan kedutaan terlibat mengetahui bahawa beliau sudah berkahwin.

“Pegawai kedutaan itu baru berusia 34 tahun dan saya sudah mejangkau usia 60 tahun. Saya pangkat emak dia tapi tidak bagi dia,” ulasnya lagi.

Mangsa kedua, Puan Nor (bukan nama sebenar) yang berusia awal 40-an turut melahirkan rasa kecewa terhadap pihak Perkeso yang tidak dapat melakukan apa-apa tindakan terhadap kedutaan terlibat.

“Bila saya pergi ke pejabat Perkeso, mereka mengatakan bahawa mereka tak boleh buat apa-apa dan akhirnya menyuruh saya untuk membuat laporan kepada kementerian.

“Di kedutaan tempat saya bekerja, tidak kira muda atau tua, semua dah terkena ‘sexual harassment’ tetapi mereka tidak berani untuk buat laporan sebab kebanyakan mereka adalah pekerja asing,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Dato Nadzim Johan, kesal kerana pegawai kedutaan seolah-olah mempunyai kuasa dan berhak melakukan apa sahaja tanpa dikenakan tindakan undang-undang.

“Perkara ini dianggap satu kesedihan dan tidak seharusnya berlaku. Sebab bila kita bercerita pasal kedutaan, mereka diibaratkan mempunyai imuniti untuk melakukan apa sahaja.

“Sepatutnya kedutaan melambangkan perlembangan tapi kita melihat perkara ini sebagai satu penipuan bagi diri kita,” ujarnya.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Pengerusi Biro Undang-undang PPIM, Datuk Hishamuddin Hashim.

Beliau berasa sedih dengan apa yang berlaku khususnya kepada mangsa wanita dan melihat ketidak adilan dalam melaksanakan tindakan undang-undang kerana ‘kekebalan’ yang dimiliki oleh kedutaan terbabit.

“Tindakan undang-undang tidak dapat dikenakan kepada mereka, bahkan, ianya dianggap berbeza disebabkan kes ini melibatkan seseorang yang mempunyai kekebalan di negara kita.

“Bila bawa pergi mahkamah, kita tak boleh menyaman mereka sebab isu imuniti yang mereka miliki.

“Mungkin kita boleh adakan sidang media bersama Kementerian Luar Negara dan membawa pengadu-pengadu serta mereka yang terlibat untuk sama-sama menyelesaikan masalah ini,” tambahnya lagi.

Orang ramai yang pernah mengalami masalah yang sama dan ingin berkongsi maklumat boleh menghubungi sekretariat PPIM di nombor 0136116666 atau 0193591000.