Malaysia Dateline

Gangguan Seksual: Khidmat ketua jabatan hospital ditamatkan 14 November

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa Jawatankuasa Siasatan Khas berhubung salah laku seksual oleh seorang ketua jabatan di sebuah hospital di Lembah Klang telah selesai menjalankan siasatan pada 23 Oktober 2018.

Laporan lengkap siasatan Jawatankuasa Siasatan Khas itu telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 24 oktober 2018 sebelum pihak JPA mengadakan perbincangan dengan pihak Pejabat Peguam Negara (AGC).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataannya berkata, keputusan daripada hasil perbincangan di antara pihak JPA dan AGC telah diangkat untuk mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat daripada Pejabat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah perkenan untuk menamatkan perkhidmatan ketua jabatan berkenaan berkuat kuasa pada 14 November 2018.

“Surat penamatan perkhidmatan itu telah disampaikan kepada ketua jabatan berkenaan pada 15 November 2018,” katanya.

Jawatankuasa yang ditubuhkan pada 24 September 2018 itu bertujuan untuk melengkapkan maklumat-maklumat siasatan awal oleh Badan Siasatan Bebas berhubung dakwaan salah laku seksual oleh seorang ketua jabatan di sebuah hospital di Lembah Klang.