Telah dikategorikan sebagai gangguan seksual, penjawat awam dilarang memanggil rakan sekerja dengan gelaran ‘sayang’ atau ‘dear’.
Jika didapati bersalah menggunakan panggilan berkenaan, penjawat awam tersebut bakal dikenakan tindakan tatatertib.
Menurut surat edaran Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), ungkapan sedemikian dianggap satu bentuk gangguan seksual secara lisan.
Surat edaran yang dimuat naik di laman web rasmi SPA itu turut menjelaskan kesalahan kes gangguan seksual secara fizikal dan juga visual.
“Sekiranya aduan dibuat (gangguan fizikal) perlu dinyatakan secara spesifik, sebagai contoh sentuh, pegang, raba, cium, cubit, usap, peluk, merapati atau lain-lain.
“Secara visual (gambar atau WhatsApp) pula, perbuatan yang dilakukan seperti menghantar gambar tidak senonoh, berbaur seks dan ‘sexting’,” tulis surat itu.
Tegas surat berkenaan, penjawat awam juga bakal berdepan dengan tindakan sekiranya didapati curang atau menjalinkan hubungan sulit.
Boleh memfailkan aduan bagi semua kesalahan tersebut kepada Lembaga Disiplin, mangsa perlu memberi maklumat secara terperinci.
Selain tempat, masa, tarikh kejadian dan tempat bertugas, mangsa juga perlu menyatakan kesan akibat daripada gangguan tersebut.
Bagi aduan mengenai hubungan sulit, pengadu perlu memaklumkan maklumat lengkap dan tepat termasuk tempoh hubungan.
Baca juga: Dalam bas pun nak buat hal, wanita rakam cubaan meraba dari orang belakang