Malaysia Dateline

PDRM

Gangguan seksual: Polis minta mangsa buat laporan

Pihak polis akan menyiasat secara terperinci dakwaan seorang pengguna jalan raya diganggu secara seksual oleh anggotanya ketika membuat rondaan selepas mengesahkan kereta peronda terbabit milik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata, pengguna Twitter dikenali ‘Lord Pretty @qhaishaaantsha’ yang turut memuat naik gambar kereta peronda polis jenis Honda Civic itu untuk membuat laporan polis.

Sejak semalam, tular di media sosial apabila pengguna Twitter tersebut mendakwa anggota di dalam kereta peronda tersebut melakukan gangguan seksual terhadapnya.

“Kita minta supaya pemilik akaun Twitter itu membuat laporan polis bagi membolehkan keterangannya diambil untuk membantu siasatan.

“Tindakan sewajarnya akan diambil jika wujud salah laku seperti didakwa. Kita tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang isu pelanggaran undang-undang membabitkan polis khususnya di IPD Petaling Jaya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubunngan itu, beliau menyeru orang ramai untuk tampil membuat aduan ke balai polis berhampiran jika berlaku salah laku dan pelanggaran undang-undang membabitkan anggota polis.