Malaysia Dateline

Gangguan seksual tak perlu diperbesar, kata menteri

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berpendapat isu gangguan seksual yang berlaku dalam kalangan pemain industri hiburan tanah air tidak perlu diperbesarkan.

Menurutnya, pemain industri harus lebih mengutamakan hal-hal positif daripada isu-isu terpencil yang didakwa berlaku.

“Saya rasa isu itu tak perlu diperbesarkan. Fokus pada perkara positif daripada kes-kes terpencil,” dipetik Mingguan Malaysia.

Ahli Parlimen Ketereh dari Umno itu berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan beberapa pemain industri berhubung isu gangguan seksual yang berlaku ke atas artis, selebriti dan kru produksi.

Terdahulu, aktor, Namron mendedahkan gangguan seksual dalam industri tidak hanya berlaku kepada wanita sebaliknya lebih ramai artis lelaki yang berdepan isu tersebut.

Malah pelakon, Sharifah Amani juga mendedahkan golongan kru produksi turut berdepan isu itu yang sudah lama ‘bernanah’ dalam industri.

Walau bagaimanapun, Presiden Seniman, Zed Zaidi berkata, pihaknya tidak menerima aduan berikutan ramai mangsa takut dan bimbang terjadi perkara yang tidak baik terhadap mereka.

Sehubungan itu, Zed meminta mereka yang terbabit tampil membuat laporan agar tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap pelaku terbabit.