Malaysia Dateline

Ganguan seksual: SPA gantung tugas bekas ketua Jabatan Ortopedik

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mengeluarkan Perintah Tahan Kerja terhadap bekas ketua jabatan ortopedik Hospital Sungai Buloh berhubung kes salah laku seksual.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad  (gambar) berkata, perintah tersebut dijalankan selama 2 bulan bermula semalam.

“Perkara itu dibuat oleh SPA dalam satu mesyuarat pada 14 September lalu yang akan membolehkan siasatan lanjut oleh pihak berkuasa berkaitan untuk menjalankan apa jua siasatan.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga menyerahkan salah laku seksual kepada Suruhanajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk salah guna kuasa,” katanya pada sidang medianya hari ini dipetik FMT.

Sebelum ini, dilaporkan doktor pelatih mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual seorang ketua jabatan ortopedik di sebuah hospital di Lembah Klang.

Dzulkefly kemudian meminta mangsa terus menghantar e-mel kepadanya, dan satu jawatankuasa yang membabitkan wakil daripada KKM dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ditubuhkan bagi meneliti perkara tersebut.

Pada 10 September lalu, sebuah panel bebas ditubuhkan bagi menyiasat kes salah laku seksual ketua jabatan berkenaan.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, persoalan penamatan perkhidmatan doktor berkenaan juga akan ditangani oleh SPA.

“Sama ada beliau berhak untuk mempertahankan kedudukannya adalah hak beliau,” katanya.

Dzulkefly turut berkata kementeriannya menyarankan agar Majlis Perubatan Malaysia membatalkan perkhidmatan perubatan doktor terbabit.

Beliau menambah, bermula doktor berkenaan berkhidmat di Hospital Sungai Buloh pada 2009, seramai 38 mangsa yang bekerja di bawahnya mengalami gangguan seksualnya.

Menurutnya, dari segi pelatih yang mengalami gangguan seksual berkenaan, tidak ada pemindahan dijalankan.

“Tidak ada pemindahan langsung dalam waktu terdekat ini dan setiap kes itu akan kami nilai secara adil dan saksama,” katanya.