Malaysia Dateline

Ganti RFID yang rosak secara percuma elak bebankan rakyat

Pemuda AMANAH Nasional menegaskan bahawa kerajaan perlu memastikan kualiti teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang dibeli oleh rakyat cukup berkualiti dengan harga yang berpatutan jika mahu sistem itu terus dilaksanakan.

Pengarah Strateginya, Asmaaliff Abdul Adam berkata, ramai pengguna jalan raya tidak berpuas hati dengan pelaksanaan transaksi tol menggunakan RFID bermula 15 Januari itu.

Menurutnya, harga RFID membebankan untuk sesebuah kenderaan selain isu membabitkan kualiti pelekat RFID yang teruk.

Beliau berkata, akibat RFID gagal untuk berfungsi di plaza tol berlaku kesesakan teruk di lebuh raya.

“Walaupun sistem RFID ini secara umumnya bagus namun ia seharusnya dilaksanakan dengan persediaan yang cukup baik sehingga menyebabkan rakyat menderita.

“Kerajaan tidak seharusnya lepas tangan terhadap kesulitan yang dihadapi rakyat sebaliknya kerajaan perlu mengambil tanggungjawab penuh akan hal ini

“Gantian terhadap RFID yang rosak dalam tempoh awal adalah perlu dilakukan secara percuma supaya tidak membebankan rakyat,” kata Asmaaliff lagi.

Sebelum ini, beberapa Plaza Tol Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) mengalami kesesakan di kedua-dua hala akibat kegagalan fungsi sistem RFID.

Semalam, Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pihaknya sudah memanggil PLUS dan Touch ‘n Go (TNG) untuk memastikan semua isu berkaitan pelaksanaan RFID segera diselesaikan.

Beliau berkata, kementerian akan terus memantau dan memastikan PLUS dan TNG menyelesaikan sebarang isu berhubung penggunaan lorong RFID.

“Ini ialah projek rintis, sebelum ini RFID untuk kawasan dalam bandar sudah dilaksanakan dan sekarang PLUS pula melaksanakan di peringkat Lebuhraya Utara Selatan.

“Memandangkan ia projek rintis, maka ada beberapa perkara yang mereka terpaksa lalui dan akan diselesaikan, malah hanya satu daripada lorong tol dipasang RFID.

“Yang lain masih ada Smart Tag dan TNG. Walaupun transaksi tol RFID beroperasi, pengguna masih mempunyai pilihan untuk menggunakan lorong transaksi melalui kad TNG dan Smart Tag,” katanya dalam kenyataan semalam.