Malaysia Dateline

Ganti Speaker Dewan Rakyat demi selamatkan maruah Muhyiddin

Kerusi Speaker yang ketika ini diduduki Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof perlu dipertahankan sebagai tanda terakhir mandat rakyat di dalam Dewan Rakyat, kata Ahli Jawatankuasa Pemuda AMANAH Nasional, Abbas Azmi.

Jelas Abbas, kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat kebiasaannya hanya akan diusul untuk digantikan jika seseorang itu meletakkan jawatannya, meninggal dunia atau dewan dibubarkan.

Namun seperti yang dijangka, beliau mendakwa usul itu dilakukan kerana Muhyiddin tersepit antara mahu menguji kesetiaan ahli Parlimen yang berjaya ‘dibeli’ dan juga desakan untuk membubarkan Dewan Rakyat bagi membolehkan ‘snap election’ diadakan.

“Bagi menyelamatkan maruah Muhyiddin, Maka jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah penentuannya.

“Jika gagal menukar Mohamad Ariff daripada bangku Yang Dipertua Dewan, maka Parlimen pasti akan segera dibubarkan kerana ia adalah signal jelas bahawa Muhyiddin tidak mempunyai angka yang cukup untuk memerintah,” katanya menerusi satu hantaran Facebooknya hari ini.

Hari ini, Ahli-Ahli Parlimen dari parti blok Pembangkang turut menyatakan tidak bersetuju dan tidak menyokong cadangan penukaran Mohamad Ariff sebagai Speaker dan timbalannya, Nga Kor Ming.

Pakatan Harapan, Bersatu, Warisan Sabah, UPKO dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) dalam satu kenyataan bersama, mengingatkan bahawa seharusnya jawatan tersebut berkecuali dan tidak terkesan dengan mana-mana pergolakan politik.

Sementara itu, Abbas berkata, jikalau pun Speaker berjaya disingkirkan, ia hanya akan menjadi masa tambahan kepada kerajaan untuk menyelesaikan segala perebutan dan kepincangan dalaman Perikatan Nasional sendiri.

“Disebalik kecelaruan ini, Mohamad Ariff selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah tanda terakhir mandat rakyat di dalam dewan Rakyat.

“Ia bukan sahaja harus dipertahan kerana datang daripada wakil rakyat yang dipilih rakyat pasca PRU-14.

“Ia juga bagi memastikan maruah Dewan Rakyat yang mulia daripada dicemari politikus yang tersedia merobek nilai murni sistem demokrasi Malaysia,” tegasnya.