Malaysia Dateline

Ganti Speaker: Muhyiddin tidak ada alasan kukuh, kata pembangkang

Blok pembangkang mewakili pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Muhyiddin tidak mempunyai alasan kukuh untuk menggantikan Speaker Dewan Rakyat dan timbalannya.

Beliau juga menyifatkan alasan yang dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah tidak munasabah hanya kerana terdapatkan calon lain untuk menggantikan Speaker sedia ada.

“Bila ada usul, kalau bagi penjelasan kuat kita boleh pertimbangkan.

“Alasan calon baru dipilih PM tak munasabah. Kita boleh pertimbangkan jika PM kemukakan alasan kukuh mengapa seorang yang Speaker menjalankan tugas baik dan cemerlang mahu digugurkan.

“Di mana salah dia mahu diaibkan sebegitu rupa. Saya harap rakan-rakan ahli Parlimen, terkeluar dari pertimbangan peribadi dan parti, saya tak fikir MP patut guna kuasa pecat Speaker yang begini cemerlang,” katanya ketika membahaskan usul menggantikan Speaker, Tan Sri Mohamad Ariff hari ini.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini berada di blok Bebas juga berdiri menentang usul berkenaan selepas kekecohan antara pembangkang dan kerajaan berterusan lebih 20 minit usul dikemukakan.

“Saya bangun untuk menentang. Saya tak pasti ini usul atau tidak kerana ia tidak diperuntukkan dalam perlembagaan. Saya baca tak nampak ada di situ bahawa Perdana Menteri boleh tukar Speaker tanpa sebab. Hanya sebab ‘saya ada calon lain’.

“Dalam Parlimen, semua yang datang dari kerajaan tak semestinya dipersetujui. Memang menjadi hak parti lawan menyoal usul dibawa. Kita nak tanya akan sebabnya nak gugurkan Speaker, apa salah dia. Kerana ada orang lain berminat nak jadi Speaker, itu alasan diberi,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad juga tampil mencabar Ahli Parlimen Pagoh untuk menyenaraikan satu kesalahan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu.