Malaysia Dateline

Gantung dewan 4 hari: Tajuddin dakwa Kor Ming tidak adil kendalikan sesi perbahasan

Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman hari ini membidas tindakan penggantungannya daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama 4 hari sebagai tidak adil.

Beliau mendakwa Timbalan Speaker Nga Kor Ming sepatunya lebih neutral dalam mengendalikan sesi perbahasan anggota parlimen  dan tidak  menghalangnya bertanyakan soalan tambahan di dalam dewan.

“Nak gantung, gantunglah sampai mati. Saya tak kisah. Nak gantung 1, 2, 4 dan 10 hari, saya bebas bila nak masuk,” katanya di lobi Parlimen.

Sebelum itu, Dewan Rakyat kecoh apabila Tajuddin berang dengan sikap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub yang tidak menjawab pertanyaan yang diajukannya dan meninggalkan dewan serta menyerahkan tugas itu kepada timbalan menteri.

Nga kemudian mengarahkan Tajuddin keluar dewan selepas wakil rakyat Umno itu enggan mengikuti arahan dan membuat kecoh.

Tajuddin berkata beliau menjadi mangsa dalam kekecohan itu dan bukannya Nga.

Beliau juga menyifatkan Nga sebagai anti Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.

“Beri peluang saya nak tanya soalan tambahan, dia tak benarkan.

“Sudah tentu saya marah. Bila dia (Nga) duduk sebagai speaker dia sentiasa pro dan melindungi ahli Parlimen DAP. Nak jadi speker kena neutral,” katanya.