Malaysia Dateline

Gantung Parlimen: Siapa nak semak imbang kabinet Muhyiddin?

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menekankan bahawa proses semak dan imbang terhadap perjalanan kerajaan ketika ini adalah penting terutama sepanjang negara berada dalam keadaan darurat.

Beliau menjelaskan, semua pihak perlu tahu bahawa proses semak dan imbang melalui persidangan Parlimen dapat mengelakkan unsur yang boleh membawa kepada kuasa tidak terkawal dalam sesuatu pentadbiran.

Beliau turut mempersoalkan sama ada penggantungan Parlimen yang dilakukan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah kerana mahu menjaga kepentingan kelompok dan puaknya sendiri.

“Adakah itu tujuan dia? Kalau itu, maka bercanggah dari sudut maqasid syariah bahawa tujuan sesuatu kemaslahatan sepatutnya menjamin semua pihak dan bukannya kelompok tertentu.

“Apabila menggantung Parlimen, kita tak nampak tujuan itu untuk kepentingan orang ramai sedangkan semak dan imbang mampu mengukuhkan lagi tujuan menjaga manusia.

“Semak dan imbang ini juga boleh mengelakkan kepada unsur yang membawa kepada kuasa tidak terkawal,” katanya dalam sesi siaran langsung di Facebook hari ini.

Sementara itu Mujahid berkata, proses tersebut dapat dilaksanakan hanya sekiranya Parlimen dapat bersidang agar duit yang dibelanjakan jelas diketahui ke mana sasarannya.

Namun menurutnya, penggantungan Parlimen menyebabkan tiada satu badan yang dapat meneruskan semak dan imbang terhadap kerajaan PN dan Kabinet keseluruhannya.

“Parlimen perlu bersidang untuk laksanakan semak dan imbang agar duit yang dibelanjakan kena pada sasarannya. Kena ada semak dan imbang pada duit berbilion yang dileluarkan.

“Ketika pemerintahan berjalan, siapa yang nak semak imbang Muhyiddin? Siapa yang nak semak imbang Kabinet dia? Siapa nak semak pegawai kerajaan?,” soalnya.