Gara-gara ayam gunting, seramai 90 pelajar dan sembilan warga pendidik sebuah sekolah menengah di Batu Pahat, Johor dilaporkan mengalami gejala keracunan makanan.
Mereka yang terjejas didakwa makan ayam gunting dan air balang di kantin sekolah berkenaan sebelum mengadu sakit perut dan mengalami gejala keracunan makanan pada Khamis lalu.
Susulan kejadian tersebut, seramai 11 pelajar menerima rawatan pesakit luar di klinik kerajaan dan swasta sebelum pengusaha kantin sekolah diarah untuk menghentikan operasi sementara siasatan dijalankan.
Mengesahkan kejadian, Ling Tian Soon selaku Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor memaklumkan bahawa siasatan berhubung kejadian tersebut sedang dilakukan.
Jelasnya, pihak Jabatan Kesihatan Batu Pahat juga sedang mengumpul maklumat daripada pelajar yang terjejas serta ibu bapa mereka untuk membantu siasatan, lapor Harian Metro.
“Kami akan mengambil tindakan sewajarnya sebaik siasatan itu selesai,” katanya memetik Harian Metro yang turut memberitahu kantin sekolah ditutup sementara mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Pemeriksaan telah dilakukan di kantin terbabit manakala arahan penutupan berkuat kuasa bermula Jumaat sehingga 11 Julai itu dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat.
Menurut Tian Soon, sampel makanan juga diambil untuk di hantar ke makmal dengan keputusan ujian dijangka dapat diperolehi di dalam jangka masa dua atau tiga hari lagi.
Sementara itu, ibu bapa kepada pelajar Tingkatan Tiga iaitu salah seorang mangsa berkata, anak perempuannya jatuh sakit selepas menikmati ayam gunting dan air balang (minuman kordial) dari kantin sekolah.
Ulasnya, remaja terbabit mengalami simptom loya, sakit perut yang teruk, cirit-birit dan muntah sehingga mendorong mereka untuk segera ke klinik berdekatan sebelum disahkan mengalami keracunan makanan.
Ibu bapa terbabit kemudian mendapat arahan daripada Pejabat Kesihatan Daerah untuk memberikan butiran simptom anak perempuan mereka bagi membantu siasatan.
Remaja perempuan tersebut juga dikatakan masih belum sihat dan tidak dapat hadir ke sekolah, semalam.