Malaysia Dateline

Gara-gara ‘bad review’ selepas ujian mendengar, calon SPM mohon maaf kepada pengusaha resort

Seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 tampil memohon maaf kepada pengusaha Salang Sayang Resort di Kuala Rompin, Pahang gara-gara ‘diserang’ rakan-rakan seangkatannya.

Menerusi TikTok atas profil @ikhwantoney, remaja itu dalam masa sama menasihatkan calon SPM sepertinya untuk tidak memberikan ulasan yang kurang memuaskan (bad review) kepada resort itu.

“Saya faham kita semua stres dengan ujian mendengar BM (Bahasa Melayu) dan BI (Bahasa Inggeris) itu. Tapi janganlah bagi ‘bad review’ kat resort tu. Resort tu tak salah langsung.

“Yang buat kertas soalan tu main hentam saja nama resort mana-mana dia nak ambil. Kau tahu tak, kau buat malu batch kita,” katanya yang kemudian tular di Twitter.

Sejak semalam, ramai calon SPM 2021 yang menduduki Ujian Mendengar kedua-dua bahasa itu dilihat berang sehingga mengecam pihak Salang Sayang Resort lantaran gagal mendengar dengan jelas nama pusat peranginan yang terletak di Kampung Salang itu.

Hanya satu markah yang diperuntukkan untuk menyatakan nama resort tersebut.

SPM 2021  Salang Sayang Resort maaf
Salang Sayang Resort terletak di pantai yang paling indah di Pulau Tioman dengan terumbu karang yang berwarna-warni.

Sehubungan itu, Ikhwan menerusi rakaman video ringkas berdurasi seminit itu berkata, dia berlapang dada sahaja dengan kehilangan satu markah.

“Ini baru Kertas 4. Kita ada Kertas 1 dan 2 pada 2 Mac nanti. Masa tu kau (calon-calon SPM 2021) buatlah betul-betul.

“Tolonglah tunjukkan kita ini sudah 18 tahun. Kau tahu tak disebabkan rating review kau tu, jatuh tau diorang punya rating kat google tu.

“Bayangkan pengurus yang tak bersalah langsung tiba-tiba dapat bad review disebabkan korang,” luah remaja itu.

Beliau berpendapat pelancong yang datang ke Pulau Tioman pada masa akan datang mungkin akan keliru dengan ulasan yang kurang memuaskan diberikan calon-calon SPM zaman Covid-19 itu.

“Disebabkan korang, resort tu boleh jadi rugi. Berkemungkinan diorang boleh muflis. Tolonglah tarik komen bad review tu, naikkan balik review diorang. Tolonglah sangat-sangat,” rayunya lagi.

Dalam masa sama, Ikhwan memohon maaf kepada pihak Salang Sayang Resort atas reaksi keterlaluan rakan-rakan SPM seangkatannya.

“Kepada pengurus Salang Sayang Resort tu, saya minta maaf dengan beberapa batch 04 saya.

“Saya harap tuan dan puan pengurus dapat memaafkan kami dan mendoakan kami berjaya dalam SPM tahun ini. Terima kasih,” ujarnya lagi.