Gara-gara bantah kenaikan harga barang, Mat Sabu 2 jam disiasat polis

Oleh ARIF ATAN

Gara-gara membantah kenaikan harga barang, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu disoal siasat di Bukit Aman selama dua jam hari ini.

Ahli Parlimen Kota Raja itu memberitahu telefon bimbitnya telah dirampas atas atas isu membela rakyat.

Peguamnya, Faiz Fadzil dalam kenyataan hari ini berkata, siasatan berkaitan video pra-flashmob harga barang itu bermula pada jam 11.15 pagi dan berakhir jam 1.15 tengah hari tadi.

Menurutnya, siasatan tersebut dibuat menurut seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Sesi siasatan berjalan agak panjang memandangkan pihak polis meminta telefon bimbit dirampas walaupun telah dibantah dengan hujah nas undang-undang.

“Ini satu tindakan yang tidak wajar memandangkan video tersebut tiada kaitan dengan telefon bimbit YB Presiden.

“Saya telah menerima arahan YB Presiden untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak Polis kerana bertindak melanggar hak privasi dan prinsip keadilan yang dijamin Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.