Malaysia Dateline

Gara-gara guna penyodok, Menteri Belia dan Sukan diminta ambil tahu soal pengurusan padang

Banyak pihak menganggap imej Malaysia seolah tercalar selepas pihak pengurusan Stadium Nasional Bukit Jalil hanya menggunakan sebatang penyodok sampah dan kertas keras bagi menolak air hujan yang bertakung di permukaan padang.

Bahkan, orang ramai turut menyatakan rasa marah dan kecewa terhadap Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang gagal memainkan peranan dalam memastikan setiap kelengkapan padang disediakan sempurna.

Isu penggunaan penyodok di atas padang ketika perlawanan Malaysia menentang Bahrain, masih lagi menjadi isu besar yang diperdebatkan.

Exco Sukan Pejuang Muda Malaysia, Aliff Jamil juga tampil berkata, apa yang berlaku itu mencerminkan ketidakcekapan sistem pengurusan padang bola nasional yang boleh menjejaskan reputasi sukan negara pada persepsi luar.

Justeru beliau menegur dan menggesa agar Kementerian Belia dan Sukan mengambil berat dalam soal persiapan dan pengurusan padang bola stadium.

“KBS juga digesa untuk mengendalikan sebarang acara berkaitan sukan bola sepak nasional agar kualiti padang bola dapat ditingkatkan serta pengurusan stadium lebih efisien untuk masa akan datang.

“Pejuang Muda Malaysia juga turut menggesa KBS serta pihak yang terlibat mengambil tindakan drastik bagi membaik pulih sistem perparitan dan kualiti padang bola dengan secepat mungkin, sesuai dengan kos pembinaan padang bola yang dikatakan telah menelan hampir RM 10 juta,” katanya lagi.

Baca juga: Doktor ini kongsi penjelasan ‘atok’ Jepun tentang Bon Odori

Baca juga: Resipi Loaded Potato Bowl Ala KFC, sekali cuba pasti nak lagi