Malaysia Dateline

Gara-gara isu siakap, imej Dataran Lang ‘bertukar’ rupa

Dataran Lang yang merupakan mercu tanda Langkawi ‘berubah’ wajah apabila disunting warganet dengan imej siakap.

Hasil suntingan itu dikongsikan ramai pengguna media sosial ketika tular harga ikan tersebut yang seberat 7.48 kilogram di sebuah restoran terapung di pulau pelancongan itu mencecah RM1,196.80.

Imej tugu berupa siakap yang menggantikan patung helang setinggi 12 meter itu muncul selepas tidak sampai dua bulan Langkawi dibuka semula untuk aktiviti pelancongan.

Harga ikan siakap yang terlalu mahal itu juga dilihat turut menjadi bahan sindiran pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Memuatkan gambar hidangan siakap masakan tiga rasa, Facebook rasmi DBP malam ini turut menyertakan pepatah ‘siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri.’

Dalam masa sama, golongan kartunis turut tidak ketinggalan menghasilkan karya berilhamkan ikan siakap, antaranya, Azman Mat Noh.

Bahkan, platform e-dagang Shopee juga dilihat memanfaatkan ‘populariti’ siakap dalam promosi ikan pemangsa tersebut.

“Siakap di Shopee serendah RM11 bukan RM1,100,” kata Shopee.

Sejak beberapa hari lalu, isu siakap tular apabila seorang pelanggan di sebuah restoran di Langkawi berkongsi cerita terpaksa membayar RM1,196.80 bagi hidangan seekor ikan siakap seberat tujuh kilogram.

Jumlah keseluruhan bil yang dimuat naik pelanggan terbabit termasuk hidangan makanan dan minuman lain untuk tujuh orang makan berjumlah RM1,759.50 seperti terpapar dalam resit yang tular.

Namun, pemilik Restoran Terapung Sas Rimba, Norasyikin Musa, dilapor berkata, dia sudah menerangkan kepada pelanggan bahawa ikan itu biasanya tidak dijual, tetapi dipelihara sebagai sebahagian pertunjukan untuk tontonan pengunjung pengunjung restoran.

“Saya telah mencadangkan kepada pelanggan supaya untuk mengambil ikan lain seperti siakap merah dan kerapu dengan saiznya sekitar satu hingga 1.5 kilogram (kg), yang lebih sesuai untuk dijadikan hidangan,” dipetik BH.

Sementara itu, rata-rata warganet menyambut baik langkah pengguna terbabit mendedahkan hal tersebut yang disifatkan mengenakan kadar harga makanan dan minuman yang ‘cekik darah’ secara keterlaluan.

“Baguslah tular. Sekurang-kurangnya orang yang kurang berduit macam saya ini tidalah terlajak untuk masuk kedai itu. Kasihan kalau terkena pada orang marhaen,” kata seorang netizen.