Malaysia Dateline

Gara-gara kes Covid-19, 19 sekolah di Selangor diarah tutup

Bermula semalam, sebanyak 19 sekolah di Selangor diarah tutup ekoran berlakunya kes jangkitan Covid-19 di sekolah terbabit.

Arahan penutupan itu dilaksanakan bagi membolehkan kerja pembasmian kuman dan saringan kontrak rapat dilakukan, memetik surat pekeliling oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling.

Sekolah yang diarahkan tutup adalah Sekolah Agama Menengah (SAM) Bestari Subang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jelutong, Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Perdana, SK Bandar Baru Sri Damansara 2, SK Bukit Kuchai dan SMK Bandar Sri Damansara 2.

Turut diarahkan tutup adalah SK Bandar Sri Damansara 3, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chai, SMK Damansara Jaya, SK Bukit Jelutong, SMK Seksyen 7, SK USJ 20, SMK USJ 23, SMK Puchong dan SMK Puchong Utama 1.

Selain itu, SMK Seksyen 4 Bandar Kinrara, SMK Bandar Puncak Jalil, SMK Seksyen 20 dan SMK Puchong Perdana.

Susulan itu, pihak sekolah diarahkan menjalankan proses nyahkuman selain memastikan kontak rapat kepada kes positif, dikuarantin.

Kesemua sekolah terbabit diarahkan tutup mengikut Seksyen 18(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bermula hari ini sehingga satu tarikh yang dimaklumkan.

Setakat semalam, Kementerian Kesihatan memaklumkan Selangor menduduki tangga kedua negeri paling banyak kes baharu Covid-19 iaitu 457 kes selepas Sarawak dengan 589 kes.

Daripada 457 kes itu, tiga daripadanya kes luar negara dan lima kes dalam penjara atau lokap dengan daerah Hulu Langat mencatatkan 136 kes, diikuti Klang (103), Gombak (93), Kuala Langat (51), Petaling (42), Sepang (16), Hulu Selangor (13), Sabak Bernam (2) dan Kuala Selangor satu kes.