Gara-gara mahu bergambar dengan ‘vibes’ berkabus, stesen minyak viral sesak hingga diserbu polis

Oleh KIM SYAZIE

Mungkin boleh dikatakan trend keterlaluan, tetapi sebelum ini pernah tular di media sosial sekumpulan anak muda yang menjadikan sebuah stesen minyak di Genting Highland sebagai tempat mereka mengadakan aktiviti perkhemahan.

Sejak stesen minyak tersebut tular lebih-lebih lagi di platform TikTok, boleh dikatakan hampir setiap hari kawasan itu kini dipenuhi dengan orang ramai yang mahu bergambar atau merakam video untuk dijadikan kandungan (content) sosial media mereka.

Keadaan itu telah menyebabkan stesen minyak tersebut padat dan sesak dengan pengunjung yang singgah kerana dikatakan pemandangan di situ sangat cantik lebih-lebih lagi ketika dilitupi kabus.

Gara-gara mahu berselfie dengan 'vibes' berkabus, stesen minyak viral sesak hingga diserbu polis

Bagaimanapun, netizen memaklumkan bahawa pemilik stesen minyak itu dikatakan telah menghubungi pihak polis bagi menyuraikan orang ramai kerana telah mengganggu para pelanggannya yang betul-betul mahu mengisi minyak di stesen tersebut.

Menerusi video yang dikongsikan netizen, dapat dilihat unit peronda polis menyerbu stesen minyak terbabit untuk meminta orang ramai bersurai daripada memenuhi kawasan itu.

Pada awal video tersebut, kelihatan keadaan trafik sangat sesak di hadapan stesen minyak yang viral itu. Manakala di dalamnya pula, pihak polis sudah ‘mengosongkan’ kawasan tersebut daripada terus dipenuhi orang ramai.

Netizen juga meluahkan rasa kurang senang terhadap segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab yang sanggup bergambar atau merakam video dalam tempoh yang lama sehingga menyusahkan pengguna lain di stesen minyak tersebut.

Ini bukan kali pertama ‘kawasan viral’ diserbu anggota penguatkuasa. Ada banyak lagi beberapa tempat sehingga ada yang terpaksa ditutup bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.