Malaysia Dateline

Gara-gara merajuk dan tidak puas hati ditegur, remaja naik bas ekspres seorang diri berbekalkan RM200

Gara-gara merajuk dan tidak berpuas hati dengan tindakan kakak dan ibu yang sering menegurnya, seorang remaja perempuan berusia 12 tahun nekad naik bas berbekalkan wang tunai RM200.

Nur Safiyyah Mohd Syukri yang dilaporkan hilang kelmarin ditemui selamat di Klang, Selangor dan dibawa pulang ke rumah di Kampung Parit Tok Hin, Kuala Kurau, Parit Buntar, Perak, jam 3 petang tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Hudri Mohd Arshad, berkata, polis berjaya menemukan Orang Hilang (OH) pada jam 2 pagi tadi dan dibawa ke IPD Kerian untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarga.

“Berdasarkan siasatan polis Orang Hilang (OH) ini dipercayai pergi ke Klang dengan menaiki bas seorang diri hingga Terminal Bersepadu Selatan, Sungai Besi.

“OH kemudiannya menaiki Grab menuju ke rumah rakan di Klang yang baru dikenalinya sebulan yang lalu di Facebook,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya berharap masyarakat tidak menimbulkan spekulasi negatif yang boleh mengeruhkan lagi keadaan serta tidak menyebabkan maklumat yang tidak benar sehingga mencetuskan kegusaran kepada semua pihak.

Terdahulu media melaporkan, kehilangan Nur Safiyyah disedari oleh ahli keluarga pada jam 7 malam, 26 Oktober lalu selepas mendapati pintu di rumah di Kampung Parit Tok Hin, Kuala Kurau terbuka.

Remaja terbabit dipercayai keluar dari pintu rumah atas dengan membawa beg pakaian dan wang tunai kira-kira RM200.

Kehilangan Nur Safiyyah juga dikongsi di laman sosial yang turut memaparkan nombor telefon Misiah iaitu 017- 483 9569.

Baca juga ‘Jangan pilih pemimpin yang hanya perlekeh agama’ – Khutbah Jumaat di Selangor seru ambil iktibar ketidakstabilan kerajaan lalu

Baca juga “Nanti kakak pula tolong adik masuk syurga ya,” – Netizen sebak tengok adik tolong kakak ‘istimewa’ pakai kasut