Malaysia Dateline

Gara-gara pencemaran sisa racun, 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup serta-merta

Kesemua 111 buah sekolah di daerah Pasir Gudang diarahkan untuk tutup berkuatkuasa malam tadi ekoran pencemaran sisa toksik di daerah berkenaan.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, penutupan itu sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Sehubungan itu, Maszlee berkata, murid, guru, kakitangan dan pekerja di semua sekolah berkenaan tidak perlu hadir ke sekolah masing-masing sehingga situasi kembali pulih.

“Berdasarkan kepada situasi semasa dan makluman daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Kementerian Pendidikan memutuskan untuk menutup semua, 111 sekolah di daerah Pasir Gudang berkuatkuasa serta-merta pada hari ini (13 Mac 2019) sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Pihak Kementerian Pendidikan memohon agar semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan jam 10.30 malam tadi.