Gara-gara sokong Palestin, Bella Hadid dipecat sebagai duta Dior, kini diganti model Israel

Oleh MAISARAH AISYA

Umum tahu kelantangan model antarabangsa, Bella Hadid dalam berkongsi isu mengenai rakyat Palestin walaupun bekerja dalam industri yang kebanyakan menyokong Israel.

Kini timbul pula isu mengenai satu jenama antarabangsa, Dior yang memecat Bella sebagai duta dan digantikan dengan model kelahiran Israel.

Menurut laporan media tempatan, Dior telah menggantikan posisi Bella dengan model May Tager.

Lebih menyakitkan hati, Bella yang selama ini mempromosikan wangian, Parfum La Collection Privee akan digantikan dengan model Israel tersebut.

“Walaupun banyak perusahaan di seluruh dunia menahan diri untuk tidak menunjukkan sokongan terhadap Israel secara terbuka.

“Namun Dior telah memilih model Israel, May Tager untuk meneruskan kempen yang sebelum ini dipegang Bella Hadid,” tulis laporan oleh media Israel, Al Bawaba.

Kes pemecatan Bella menyebabkan orang ramai menyebarkan anda pagar #BoycottDior dalam media sosial.

“Jika kamu ingin ‘menghidu’ kematian, pakailah barangan Dior. #BoycottDior.

“Boikot Dior! Jenama itu telah menggantikan Bella Hadid yang memiliki 60 juta pengikut dalam media sosial, dengan seorang model Israel yang tidak dikenali.

“Boikot Dior kerana jenama itu menyokong pembunuhan beramai-ramai di Gaza,” antara komen orang ramai di X (Twitter).

Bagaimanapun, sehingga kini baik Bella mahupun Dior belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.

Sebelum ini tular mengenai Instagram Israel yang menyelar tindakan kakak Bella, Gigi Hadid yang berterusan berkongsi mengenai Palestin.

Malah seluruh ahli keluarga Hadid turut diganggu sehingga mereka merasa terancam apatah lagi nombor peribadi mereka turut disebarkan.

Baca juga: “Banyak lagi syarikat besar asal Israel, kenapa ‘fast food’ sahaja jadi mangsa?” – Ustaz Don Daniyal