Malaysia Dateline

Gara-gara tagih cinta dengan mat saleh di ‘online dating’, nenek berputih mata lesap RM5.29 juta

Seorang wanita berusia 64 tahun berputih mata lantaran lesap RM5.29 juta gara-gara menagih cinta seorang ‘mat saleh’ warganegara Amerika Syarikat (AS) menerusi laman sosial “Online Dating”.

Suspek mendakwa dirinya paramedik di Hospital California berjanji ingin mengahwini wanita yang merupakan pengarah syarikat di Ipoh, Perak itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, suspek memperdayakan mangsa kononnya mendapat kontrak besar pembekalan peralatan perubatan bernilai AS$22 juta dan memerlukan dana modal permulaan.

Ekoran itu, mangsa telah melakukan 120 transaksi pindahan wang ke dalam 14 akaun bank yang diberikan suspek secara berperingkat antara Januari hingga Jun 2022 berjumlah keseluruhan RM5.29 juta, lapor Awani.

Jelasnya, mangsa penipuan “Scam Cinta” itu telah menghabiskan kesemua wang simpanan dan membuat pinjaman dengan Pemberi Pinjam Wang Berlesen.

“Semakan awal mendapati akaun bank yang terlibat (akaun lelaki itu) juga mempunyai rekod untuk beberapa kes penipuan menggunakan modus operandi yang sama,” kata Azmi.

Tambahnya, wanita itu telah membuat laporan polis semalam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Bulan lalu, polis menyatakan jumlah laporan harian yang diterima daripada mangsa kes penipuan dalam talian meningkat setiap tahun dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Selain Scam Cinta, pelbagai jenis penipuan dalam talian lagi wujud antaranya Macau Scam, tipu pelaburan tidak wujud, pinjaman wang tidak wujud dan sebagainya.

Kaum wanita menjadi golongan paling ramai menjadi mangsa penipuan dalam talian berbanding kaum lelaki.