Gara-gara tercekik buah anggur, budak 2 tahun maut lepas 10 hari bertarung nyawa

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang kanak-kanak berusia dua tahun disahkan meninggal dunia semalam akibat tercekik sebiji buah anggur dalam kejadian di Taman Merbok, Bukit Katil, Melaka.

Menyayat hati, kanak-kanak perempuan berkenaan difahamkan telah menghembuskan nafas terakhirnya selepas 10 hari bertarung nyawa di Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) pada pukul 9.23 pagi semalam.

Hasil soal siasat polis bersama Pegawai Perubatan Hospital Melaka mendapati mangsa bernama Nur Aryanna Danisha itu mulanya dirawat di sebuah hospital swasta.

Aryanna yang masih berada di dalam keadaan tidak stabil itu kemudian pindahkan ke Hospital Melaka kira-kira pukul 8.18 malam pada 31 Ogos lalu, lapor Kosmo.

“Kanak-kanak berkenaan sebelum itu mendapatkan rawatan awal di sebuah hospital swasta di Bukit Katil selepas keluarganya menyedari dia tercekik semasa makan buah anggur.

“Doktor di sana berjaya mengeluarkan buah anggur tersebut, namun pesakit dalam keadaan tidak stabil dan perlu menggunakan alat bantuan pernafasan. Justeru dia dipindahkan ke wad PICU Hospital Melaka,” katanya.

Christopher Patit turut memaklumkan bahawa Aryanna disahkan mati mengejut dengan punca kematiannya, ‘Hyporxic Ischaemic Encephalopathy secondary to choking’.

“Pihak Hospital Melaka bagaimanapun tidak membuat laporan polis berkenaan kematian tersebut dan setakat ini, tiada laporan polis dibuat oleh pihak keluarga kanak-kanak berkenaan.” Ulasnya.

Sebulan lalu, negara telah dikejutkan dengan khabar duka bahawa seorang kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia selepas tercekik buah rambutan.

Kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu tercekik buah di sebuah kediaman yang terletak di Kampung Sungai Ling, Chenor, Maran, Pahang.

Anak kecil yang dikenali sebagai Nur Iman Fitriah Muhamad Nizam itu kemudian disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Klinik Kesihatan Pekan Tajau.

Baca juga: Minta isteri jadi suri rumah tanpa gaji, lelaki diperintah bayar ganti rugi lebih RM1 juta