Gara-gara tercekik buah rambutan, kanak-kanak 9 tahun meninggal dunia

Oleh WAN SITI AMINAH

Negara hari ini dikejutkan dengan khabar duka bahawa seorang kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia akibat tercekik buah rambutan.

Difahamkan, kanak-kanak berusia sembilan tahun itu tercekik buah di sebuah kediaman yang terletak di Kampung Sungai Ling, Chenor, Maran, Pahang.

Anak kecil yang dikenali sebagai Nur Iman Fitriah Muhamad Nizam itu kemudian disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Klinik Kesihatan Pekan Tajau.

Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 8 malam semalam.

Menurutnya, doktor telah mengeluarkan buah tersebut dari mulut sebelum jenazah Iman Fitriah dibawa ke Hospital Jengka untuk dibedah siasat.

“Doktor telah keluarkan buah rambutan dari mulut kanak-kanak tersebut dan jenazah dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat. 

“Sebab kematian adalah salur penafasan tersumbat disebabkan oleh sesuatu objek (buah rambutan),” katanya memetik Sinar Harian.

Setelah bedah siasat dilakukan, kes melibatkan murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Pasir itu kemudian diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Norzamri turut memaklumkan bahawa jenazah Nur Iman itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Cempedak, Maran pagi tadi.

Baca juga: Akibat Covid-19 ramai cabut lari lepas makan di restoran, ‘order’ sampai tiga hidangan tapi tak bayar