Meskipun ramai menggunakan teknologi bagi mencari jalan untuk ke destinasi, tak semua boleh dipercayai apatah lagi pemanduan di malam hari.
Seorang warga emas cemas seleps tersesat hingga ke dalam ladang kelapa sawit selepas menggunakan aplikasi Waze hingga terpaksa meminta bantuan lapor Harian Metro.
Pemilik kereta Proton Iswara, Pauzi Ismail yang berusia 70 tahun itu dikatakan memandu sendirian dari Gua Musang, Kelantan untuk pulang ke rumahnya di Bandar Penawar, Johor.
Kejadian yang berlaku pada Khamis lalu itu menjadi detik cemas buat Pauzi selepas tersesat beberapa jam di ladang kelapa sawit lama.
Anak sulungnya, Jurasmadi Pauzi berkongsi bahwa bapanya tidak mahir menggunakan telefon pintar dan ini menambah kesukaran mereka untuk mencarinya.
“Sekitar jam 6 petang saya menerima panggilan daripada sepupu memberitahu dia menerima panggilan bomba Pahang memaklumkan ayah tersesat di ladang sawit dan tidak mengetahui lokasi sebenar.
“Saya dan adik cuba menghubungi ayah dan meminta dia berkongsi lokasinya menggunakan telefon bimbit itu namun ayah tidak tahu cara untuk melakukannya
“Ayah beritahu dia hanya ikut sahaja arah Waze yang ditunjukkan itu tanpa melihat sekelilingnya.
“Mujur selepas menyedari tersesat ayah membuat panggilan kecemasan 999 dan ketika itulah baru kami mengetahuinya selepas bomba menghubungi sepupu,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Jelasnya, keadaan menjadi lebih cemas apabila bateri telefon bapanya semakin lemah menyebabkan pihak polis terpaksa bertanya kepada orang kampung.
“Malah ketika panggilan video itu pegawai polis dan bomba turut melihat bayang orang lain berada di tempat duduk penumpang sedangkan ayah ketika itu bersendirian.
“Mujur selepas beberapa jam ayah berjaya menghantar lokasinya namun tidak beberapa tepat menyebabkan pihak polis bertanya kepada penduduk kampung sama ada mengetahui ladang kelapa sawit di kawasan itu.
“Dengan bantuan penduduk kampung yang masuk ke ladang kelapa sawit itu menunggang motosikal akhirnya berjaya menemui ayah jam 10.02 malam,” tambahnya.
Baca juga: Pegawai polis disyaki minta suapan RM10,000 dari keluarga mangsa rogol, ditahan reman 3 hari