Malaysia Dateline

Garis Panduan Solat Jumaat akan dibincangkan

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-5 telah diadakan hari ini bagi membincangkan Garis Panduan Solat Jumaat Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, garis panduan ini disediakan bagi penelitian para Ashabus Samahah Mufti-Mufti seluruh Malaysia selaku pihak berkuasa agama negeri dan Ahli-Ahli Dilantik MKI sebagai satu panduan bersama sebelum dipertimbangkan dan diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri.

Katanya, resolusi muzakarah ini akan di bawa kepada Majlis Raja-Raja sebagai satu pandangan dan nasihat untuk dipertimbangkan dan diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri.

“Perlembagaan Persekutuan menetapkan urusan berkaitan hal ehwal Islam berada di bawah ruang lingkup kuasa dan bidang kuasa negeri di bawah naungan Raja-Raja bagi negeri-negeri. Hal ini jelas disebut di bawah Butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya amat menjunjung hikmah dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam mempertimbangkan dan memutuskan sebarang urusan berkaitan hal ehwal Islam di negeri-negeri dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong dalam mempertimbangkan dan memutuskan sebarang urusan berkaitan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri tidak beraja,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun buat masa ini, beliau menyeru seluruh umat Islam untuk mematuhi segala peraturan berkaitan penangguhan aktiviti keagamaan di masjid dan surau yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri.

“Dan sentiasa memanjatkan doa agar wabak ini beransur hilang. Yakinlah bahawa akan tiba saatnya masjid dan surau kembali meriah dengan pelbagai aktiviti keagamaan dan diimarahkan dengan sebaiknya,” katanya.