Malaysia Dateline

‘Gatal’ Janna Nick mewabak di TikTok dari Indonesia sampai Turki

Single baharu ‘panas’, Janna Nick berjudul Gatal muncul menjadi fenomena merentas dunia menerusi platform TikTok.

Lagu ciptaan sepenuhnya Aepul Roza yang dilancarkan sejak tiga minggu lalu telah mendapat sejumlah 2.6 juta tontonan dalam YouTube setakat pagi ini.

Di Indonesia, Gatal mendapat sambutan hangat dan tular sehingga tersenarai sebagai Top 10 lagu paling popular dalam aplikasi TikTok di negara itu.

Pempengaruh (influencer), Asli Guler dengan 2.6 juta pengikut di TikTok turut menggunakan lagu Gatal dalam akaun miliknya.

Hanya dalam tempoh 12 jam, video itu disukai lebih 23,000 penonton.

'Gatal' Janna Nick mewabak di TikTok dari Indonesia sampai Turki
Janna Nick

Janna atau nama lengkapnya Nurul Janna Muner, 27, lapor Kosmo! Online, berasa gembira dan terharu dengan sambutan hangat terhadap lagu Gatal apabila tular sehingga ke Indonesia.

“Saya tidak sangka lagu Gatal mendapat sambutan baik oleh pendengar di Indonesia terutamanya pengguna TikTok.

“Terima kasih kepada pencipta lagu tersebut iaitu Aepul Roza serta Warner Music untuk lagu yang sangat menarik itu. Terima kasih juga kepada semua pengguna TikTok yang menjadikan lagu Gatal trending,” ujarnya.

Kekasih kepada pelakon Dini Azan Schatzmann itu tidak menolak kekuatan yang ada pada lagu Gatal sehingga dapat diterima baik pendengar bukan sahaja di Malaysia, bahkan sehingga ke negara seberang.

“Mungkin ada kekuatan dalam lagu Gatal yang membuatkan lagu ini menjadi pilihan pendengar dari luar negara.

“Saya pun ada kelompok kecil peminat di Indonesia yang bernaung bawah kelab Jannah Nicker. Terima kasih saya ucapkan,” katanya yang disahkan positif Covid-19 sejak 26 Februari lalu.