Gaum selar kenyataan MP Sepang  berkaitan video ‘Like A Dog’ Namewee

Gaum selar kenyataan MP Sepang berkaitan video ‘Like A Dog’ Namewee

Datuk Zulkarnaen Mahdar

Gerakan Akar Umbi Umno Malaysia (GAUM) menyelar kenyataan dibuat Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin kononnya kerajaan menghalang Namewee berkarya sebagai tuduhan yang dangkal dan cubaan mewujudkan persepsi salah di kalangan rakyat Malaysia.

Presidennya Datuk Zulkarnaen Mahdar berkata video yang dilakonkan sendiri oleh Namewee itu secara jelas menunjukkan adegan yang tidak sesuai dilihat oleh masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

“Dipaparkan sepasang lelaki yang menggunakan topeng anjing telah melakukan perbuatan yang cukup tidak senonoh. Bunyi anjing di Malaysia kononnya ‘mari wang’ manakala di lain negara pula dengan bunyi yang jauh lebih baik daripada anjing yang berada di Malaysia juga jelas sebagai satu cubaan memburukkan pentadbiran negara ketika ini di mata dunia yang turut melihat video Namewee tersebut.

“Adakah Hanipa bersetuju dengan perbuatan lakonan lucah serta tidak senonoh seperti adegan sepasang lelaki di awal video tersebut,” ujarnya dalam kenyataan semalam.

Hanipa pada Isnin, dalam komen di facebooknya mahu Ketua Polis Negara membiarkan anak muda berkreatif.

“Saya tak nafi mungkin ada kandungan video itu mungkin offensive kepada setengah orang.

“Tapi Tuan IGP ,biarlah anak muda berkreatif. Janganlah ganggu mereka. Jika ada silap, biasalah dan tak perlulah habiskan masa dan tenaga siasat orang muda tu. They ( orang muda ) need space. Respect sikit lah their freedom of expression. Depa bukan lanun wang rakyat pun.

Anyway, saya tak nampak beliau hina Islam pun dalam video tu. Bagi saya, lebih hina guna wang dari badan yang terbabit dengan skandal lepas tu taja orang pergi haji,” ujar Hanipa.

Zulkarnain berkata, Kerajaan sebenarnya sentiasa menyokong industri perfileman negara dan menggalakkan seluruh rakyat berkarya melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia termasuk Finas, tetapi bukannya melalui video yang berunsur lucah dan menghina seperti yang diterbitkan oleh Namewee tersebut.

Hanipa Maidin

“Malaysia adalah sebuah negara yang cukup unik di mata dunia, dimana kehidupan masyarakat majmuk rakyatnya dilihat sentiasa cuba mengamalkan nilai-nilai murni dan tinggi peradaban dikalangan semua kaum yang berada di Malaysia.

“Umat Islam juga turut meraikan bersama tahun baru Cina pada setiap tahun dengan rakan-rakan berbangsa Cina dimana tahun baru Cina pada kali ini adalah tahun anjing.

“Namun tindakan Namewee membuat video bertajuk ‘Like A Dog’ sedikit sebanyak dilihat cuba memutar belit perayaan tahun anjing bagi perayaan Cina pada tahun ini dengan menghina nilai peradaban timur yang sejak sekian lama diamalkan di Malaysia.

“Adakah Namewee tidak merasa bersalah apabila memasukkan adengan sepasang lelaki yang memakai topeng anjing melakukan perbuatan tidak senonoh di awal video tersebut,” soalnya.

Namewee sebelum ini pernah menimbulkan kontroversi kepada rakyat negara ini apabila memuat naik video lagu Negaraku yang diberikan tajuk ‘Negara Kuku’ dengan maksud yang berbeza daripada lagu asalnya.

Justeru beliau turut mendesak pihak polis kali ini mengambil tindakan tegas untuk membawa Namewee ke muka pengadilan dan pihak keselamatan juga seharusnya sentiasa mengawasi keadaan berhampiran kawasan Pusat Pentadbiran Putrajaya agar tindakan yang dilakukan oleh Namewee ini tidak berulang lagi.

COMMENTS

Wordpress (0)