Malaysia Dateline

Gayung bersambut, Pemuda Pas sedia hadapi Pemuda Umno

Pemuda Pas Selangor tampil memberi amaran kepada Asyraf Wajdi Dusuki susulan ucapan Ketua Pemuda Umno itu yang mengaitkan kisah perseteruan antara golongan Khawarij dan Ali bin Abi Talib yang berlaku dalam sejarah Islam.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Selangor, Sukri Omar mengingatkan bukan sikap Pemuda menjadi pak turut sehingga mengadai prinsip perjuangan.

“Dr Asyraf Wajdi Dusuki kaitkan kisah Khawarij dan Saidina Ali bagi menolak Gagasan Penyatuan Ummah bagi menyatukan Umno, Pas dan Bersatu.

“Jangan poyo sangat rasa diri macam Saidina Ali bossku.

“Suka saya ingatkan pengkhianatan persepakatan ini bermula dengan sokongan pada Anwar Ibrahim sebagai PM. Itukah nilai setiakawan? Jujur dan ikhlas? Demi survival ummah?” bidasnya dalam satu kenyataan.

Ucapan dasar Asyraf sempena Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU 2020) di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam turut menyifatkan Umno terpaksa berkongsi “kasih yang baharu berputik” bersama Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) pada September 2019 dengan pihak ketiga yang merujuk kepada Bersatu.

‚ÄúDengan rasa berat hati, kita pasrah pilihan sahabat kita untuk bermadu, walau hati rasa terluka,” kata Asyraf merujuk pada sikap Pas yang turut bekerjasama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

Dalam masa sama, Sukri mengingatkan sifat Pemuda sebagai perubah yang menjadi teras kebangkitan.

Dia juga menegaskan sikap anak jantan dan memberi kata dua agar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak “dicederai”.

“Jika mahu menjadi pak turut elok lucutkan jenama ‘Pemuda’ pada diri anda.

“Usah panjangkan kalam lucu dan bicara palsu. Jika anda membuka gelanggang di hadapan Ketua Pemuda kami, insyaAllah kami Pemuda bersedia menyambut.

“Bukan anak jantan jika bercakap seorang diri, tak ubah bagai orang gila yang merasa jaguh sedangkan bersilat langkahnya sumbang.

“Amaran kami usah biadab dengan tetamu esok (hari ini), jika ayahanda kami dicederai. Kami bersedia menghadapi kalian, serta sekali-kali tidak akan berdiam diri!” tambahnya.

Sukri turut mengakhiri kenyataannya dengan serangkap pantun berbunyi:

Anak jantan anak temenggung,
Pergi belayar tanjung kerasak.
Berani buat beranilah tanggung,
Kami pemuda sedia bergasak.