Malaysia Dateline

Taqiuddin Cheman

Gaza: Adun Pulai Sebatang persoalkan hak asasi manusia dicanang barat

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulai Sebatang, Taqiuddin Cheman hari ini berkata, tindakan rejim Israel yang menyerang penduduk Palestin sejak Jumaat lalu adalah suatu tindakan yang kejam.

Menurut  beliau, tindakan menyerang ketika umat Islam di Palestin khususnya yang sedang berpuasa itu adalah suatu tindakan yang tidak peri kemanusiaan.

Beliau turut mempersoalkan hak asasi manusia yang selama ini kuat dicanangkan oleh barat tidak wujud.

“Sehingga kini di mana hak asasi manusia yang kuat dikatakan oleh barat sehingga setiap kali bangkitan soal mempertahankan hak di Gaza langsung tidak didengari oleh mereka.

“Barat hanya pandai berkata namun tidak ada sebarang tindakan bagi meredakan atau mengadakan sebarang rundingan terhadap kedua belah pihak di antara Israel dan Palestin.

“Tindakan yang dilakukan oleh Israel ini terlalu kejam dan sememangnya waktu inilah kesesuaian perjuangan hak asasi manusia bertindak menyelamatkan keadaan,” ujarnya ketika dihubungi.

Beliau turut mengutuk keras berkenaan dengan tindakan Israel yang dilihat sebagai ‘penganas berlesen’ dalam soal penindasan yang berlaku di semenanjung Gaza.

Dalam pada masa yang sama, Taqiuddin juga turut menyokong usaha kerajaan Malaysia yang mengutuk tindakan Israel tersebut melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa semalam.

“Pada September yang lalu Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan tegasnya telah mengecam tindakan Israel di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) namun sehingga kini tidak ada negara barat yang menyambut baik dengan membuktikan tentangan terhadap rejim Israel hari ini.

“Ini jelas bahawa hak asasi manusia yang sebagai suatu retorik semasa untuk membenarkan agenda mereka bukan untuk semua pihak.

“Hak asasi manusia yang diperjuangkan barat hanya sebagai ‘pilih bulu’ dan sekiranya sebarang ancaman atau serangan terkena kepada mereka barulah mereka akan sebut tentang hak asasi manusia,” tegasnya lagi.

Dalam pada yang sama, bersempena bulan Ramadhan ini Taqiuddin juga mengajak agar semua umat Islam berdoa untuk kesejahteraan penduduk di Palestin yang kini ditimpa musibah serangan oleh rejim Israel.