Malaysia Dateline

Gazetkan Hutan Simpan Hulu Muda sebagai kawasan tadahan

Kerajaan Negeri Kedah perlu gazetkan Hutan Simpan Ulu Muda sebagai kawasan tadahan, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa.

Jelasnya, Pulau Pinang melalui PBAPP menyokong supaya tuntutan bayaran pampasan oleh Kerajaan Pusat kepada Kedah bagi merealisasikan agar kawasan hutan tersebut dapat digazetkan sebagai kawasan tadahan dan diwartakan.

“Apabila kawasan Hutan Simpan Ulu Muda tersebut diwartakan sebagai kawasan tadahan sudah pasti ia boleh melindungi kawasan tersebut daripada pembalakan pada masa yang akan datang.

“Seandainya ia tidak digazetkan sebagai kawasan tadahan maka tidak dapat dinafikan pada masa hadapan kemungkinan kegiatan pembalakan akan beroperasi semula.

“Sehubungan itu kerajaan negeri Pulau Pinang bersama-sama dengan PBAPP menyokong sepenuhnya bagi Kedah mendapat pampasan berdasarkan kepada pewartaan tersebut, ” tegasnya.

Menurut Jaseni lagi, Kerajaan Pusat boleh memanfaatkan sebahagian daripada cukai di tiga buah negeri sejumlah RM18 bilion bagi membiayai bayaran pampasan kepada negeri Kedah.

Sebelum ini juga telah dilaporkan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang telah pun membayar kira-kira RM18 bilion kepada Kerajaan Pusat melalui cukai barangan, perkhidmatan dan pendapatan.

Adalah difahamkan ketika ini Hutan Simpan Ulu Muda turut membekalkan kira-kira 96 peratus air mentah untuk negeri Kedah, 70 peratus ke negeri Perlis dan lebih 80 peratus ke Pulau Pinang bagi tujuan kegunaan domestik, pertanian maupun perindustrian.