Gejala penyakit di Sekolah Agama Taman Mawar mirip kes Sungai Kim Kim

Gejala penyakit di Sekolah Agama Taman Mawar mirip kes Sungai Kim Kim

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly tidak menolak kemungkinan gejala sesak nafas dan muntah dialami 15 murid Sekolah Agama Taman Mawar di Pasir Gudang, Johor hari ini seakan sama dengan gejala pencemaran toksik di Sungai Kim Kim pada Mac lalu.

Beliau berkata, pihaknya sedang memantau rapi perkembangan kes pencemaran udara itu termasuk akan berhubung rapat dengan Pengarah Kesihatan Negeri Johor bagi mengetahui situasi semasa.

“Maklumat awal yang kami peroleh mendapati simptom dialami murid itu kemungkinan besar berpunca dari pencemaran gas organik, sama seperti kes Sungai Kim Kim,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Pemimpin AMANAH itu juga berkata, masih terlalu awal untuk membuat keputusan untuk kementerian mengeluarkan arahan penutupan kepada sekolah tersebut memandangkan situasi setakat ini masih terkawal.

“Apapun kita akan pantau dan lihat situasi ini bagi mendapatkan maklumat lanjut, termasuk menentukan punca dan tahap pencemaran udara yang berlaku,” tegasnya.

Petang tadi 15 murid Sekolah Agama Taman Mawar di Pasir Gudang diserang sesak nafas dan muntah dengan lima daripada mereka dihantar ke hospital petang tadi dipercayai akibat pencemaran udara.

Pihak bomba daerah itu dilapor berkata menerima panggilan kecemasan pada jam 3.39 petang. Sehubungan itu, sebuah jentera dengan tiga anggota dihantar ke lokasi kejadian sebagai tindak balas pertama.

Ketika krisis pencemaran Sungai Kim Kim, sebanyak 34 buah sekolah di Pasir Gudang diarah tutup serta-merta pada 13 Mac lalu.