Malaysia Dateline

Gejala sesak nafas: 6 pelajar dikesan alami simptom keresahan

Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memaklumkan, enam kanak-kanak dan remaja yang dirawat kerana mengalami gejala sesak nafas di Pasir Gudang, Johor, dikesan mengalami simptom keresahan (anxiety).

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, mereka adalah antara 10 kanak-kanak dan remaja berusia 10 hingga 17 tahun yang dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru yang berasal daripada lapan sekolah berbeza.

Beliau berkata, tiga daripada mereka adalah pelajar yang pernah terlibat dalam insiden Sungai Kim-Kim yang tercemar akibat pembuangan bahan toksik pada Mac lalu.

“Dalam kalangan enam daripada mereka, seorang pelajar mempunyai komorbid, iaitu bronchial asthma.

“Kesemua enam pelajar itu akan diberikan susulan dan dirujuk kepada pakar psikiatri kanak-kanak bagi mengesan punca keresahan.

“Simptom keresahan itu dikesan susulan saringan mental dijalankan dengan menggunakan soalan Depression Anxiety Stress Scales (DASS) terhadap semua 10 pesakit terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung perkembangan terkini kejadian itu, di kementeriannnya, hari ini yang turut dihadiri Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, berdasarkan sejarah pendedahan, manifestasi gejala serta penilaian psikososial dan taburan sekolah yang terbabit tiada kejadian ‘mass psychogenic hysteria’ yang dilaporkan.

“Sebagai tindakan pencegahan awal, aktiviti intervensi psikologi bersama pihak Pejabat Pendidikan Daerah dan kaunselor di lima sekolah akan dilaksanakan pada Ahad ini.

“Secara kumulatif, 235 individu terdiri enam anggota kesihatan dan 229 orang awam telah menerima khidmat bantuan awal psikososial (PFA).

“Seramai 222 orang telah menjalani sesi PFA individu, dan 13 lagi menjalani sesi PFA kelompok,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Dzulkefly yang juga Pengarah Strategi AMANAH turut memaklumkan, Jabatan Kesihatan Negeri Johor masih melakukan pemantauan di lapangan berikutan kejadian berkenaan.

“Orang ramai dinasihatkan agar mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala kesesakan nafas, loya, muntah, pening, sakit kepala, kekejangan otot dan lemah badan.

“Klinik Kesihatan Pasir Gudang dibuka bagi menerima dan merawat lain-lain mangsa yang mungkin terkesan susulan kejadian ini,” katanya.

20 Jun lalu, seramai 15 pelajar Sekolah Agama Taman Mawar, di Pasir Gudang, mengalami simptom muntah-muntah dan sesak nafas.

Dua hari kemudian, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata pemeriksaan ke atas pesakit mendapati, mereka mengalami simptom yang sama dengan kes pencemaran toksik di Sungai Kim Kim pada Mac lalu.