Gelagat seekor lembu yang terjatuh di dalam longkang sehingga memerlukan bantuan abang bomba untuk menyelamatkannya, mencuri perhatian ramai.
Dalam satu video dikongsikan pengguna TikTok, seekor lembu dikatakan terjatuh di dalam longkang berjam-jam lamanya.
Disebabkan haiwan itu tidak dapat keluar sendiri, penduduk di kawasan berkenaan segera memanggil bomba untuk mendapatkan bantuan.
Dalam video itu dapat dilihat sekurang-kurangnya 10 pegawai bomba dikerahkan ke kawasan berkenaan.
Namun apa yang menyebabkan situasi bertukar gamat apabila lembu yang sepertinya sedang menunggu bantuan itu boleh pula naik ke atas dengan sendirinya dan keluar dari longkang.
Hal itu menyebabkan warganet tergelak besar lantas berseloroh mengatakan abang bomba pun kena scam dengan lembu!
“Lembu jatuh longkang pun minta bantuan abang bomba. Masalahnya berjam-jam dah lembu tu tersangkut dekat situ. Datang je bomba, eh tiba-tiba pandai pula dia keluar,” kata kapsyen pada video dikongsi HZ Family.
Menjengah ke ruangan komen, ramai terhibur melihat gelagat haiwan bijak ini dan mengatakan mungkin lembu ini takut bakal jadi korban, lalu cepat-cepat naik dari longkang.
“Lembu tu nampak ramai sangat orang, ingat dah sampai masa dia nak kena korban, tu sebab boleh panjat sendiri,” seloroh @Gofakara
“Orang dah tolong disodoknya abang bomba tu. Kacau lagi dia tengah healing,” komen pula @Meknieys selepas melihat gelagat abang bomba lari bertaburan selepas lembu tersebut seolah ingin menyondol mereka.
Baca juga: Enam tahun dah pandai masak kuetiau, netizen tercabar umur 30 belum tahu masak lauk